Berhentilah menyebarkan hukum dan fakta menyeleweng tentang wasiat! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 8 May 2024

BERHENTILAH MENYEBARKAN HUKUM DAN FAKTA MENYELEWENG TENTANG WASIAT !

 

 

Persoalan kos merancang harta telah saya terangkan dalam artikel yang lepas.

 

Saya harap masyarakat kini faham bahawa membuat dokumen perancangan harta bukanlah boleh  hentam keromo sahaja, dibuat sekadar pemahaman atau pengalaman peribadi sahaja atau bulat-bulat meniru dokumen pihak lain tanpa mengetahui kenapa dokumen itu diformat sedemikian rupa.

 

Saya juga harap dengan artikel minggu lepas, masyarakat akan faham dan menghargai segala susah-payah yang kami lalui bagi memastikan semua dokumen kami benar-benar patuh Hukum Syarak, patuh undang-undang Syariah semasa dan boleh dikuatkuasakan mengikut undang-undang semasa.

 

Sekali lagi saya ulangi supaya difahami oleh masyarakat bahawa proses merancang harta itu bukanlah proses yang mudah semudah menjual makanan di tepi jalan.

 

 

wasiyyah

 

 

Jika kita membeli makanan di tepi jalan dan selepas memakannya kita dapati ia tidak kena dengan selera kita, kita boleh sahaja membeli makanan dari peniaga yang lain yang lebih menepati selera kita.

 

Keadaan ini berbeza dengan kita merancang harta. Kita tidak tahu secara tepat adakah dokumen hibah atau wasiat yang kita buat itu boleh berkuatkuasa mengikut kehendak dan keperluan kita kerana dokumen-dokumen itu semuanya akan dilaksanakan selepas kematian kita.

 

Oleh kerana kita sudahpun membuat dokumen perancangan harta itu, maka kita mudah untuk membuat kesimpulan segala-galanya telah selesai.

 

Apa jadi jika dokumen-dokumen itu tidak boleh dilaksanakan kerana ketidaksesuaian dengan hukum ataupun undang-undang semasa? Bolehkah kita bangkit semula daripada kubur dan membuat dokumen yang baru?

 

Saya baru balik dari sebuah negeri di utara semenanjung atas jemputan untuk memberi ceramah tentang perancangan harta. Hadirin saya kebanyakannya ialah ahli perniagaan dan profesional.

 

Ramai di antara hadirin ceramah saya terperanjat apabila saya maklumkan bahawa wasiat yang mereka buat kebanyakannya tidak boleh berkuatkuasa baik daripada sudut Hukum Syarak, undang-undang Syariah mahupun undang-undang sivil semasa.

 

Semua mereka (tanpa pengecualian) menyangka bahawa semua urusan penghartaan mereka sudahpun selesai kerana mereka telah membuat wasiat. Sekurang-kurangnya itulah yang telah mereka diberitahu oleh pembuat dokumen wasiat mereka.

 

 

wasiyyah

 

 

Di dalam wasiat itu dengan bersusah-payah mereka telah memperincikan bagaimana harta pusaka mereka ingin diagihkan kepada waris seperti pasangan dan anak-anak. Mereka diberitahu wasiat itu akan membantu semua hasrat mereka terlaksana  dan mereka tidak perlu bimbang apa-apa lagi.   

 

Jenuh sebenarnya saya bercerita di seluruh Malaysia dan hampir di 15 buah negara selama 20 tahun ini bahawa WASIAT kepada waris tidak berkuatkuasa jika tidak dipersetujui oleh semua waris faraid selepas kematian pewasiat.

 

Ini adalah hukum yang jelas dan disepakati oleh jumfur fuqaha’. Di Mahkamah Syariah Malaysia inilah hukum wasiat yang tergunapakai.

 

Namun saya hairan kerana masih ada lagi pihak yang bersungguh-sungguh mempromosikan WASIAT sebagai dokumen tunggal yang akan menyelesaikan semua isu harta pusaka orang Islam.

 

Kenapalah kita mahu terus mengelirukan masyarakat dengan fakta yang tidak betul. Tidak takutkah kita dengan dosa kerana menyelewengkan fakta dan hukum?

 

Saya tiada sebarang masalah jika wasiat itu dipromosikan mengikut kewajaran hukumnya iaitu pemberian 1/3 bagi tujuan amal jariah dan penerimanya ialah bukan waris iaitu pihak yang tidak menerima harta pusaka mengikut hukum faraid.

 

Saya juga tiada masalah jika wasiat (yang melantik wasi) dipromosikan juga mengikut fungsinya yang sebenar iaitu pelantikan wasi bagi tujuan Geran Probet untuk urusan harta pusaka di Mahkamah Tinggi Sivil sahaja. (Perlu saya tegaskan wasiat yang melantik wasi jika dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil iaitu untuk nilaian harta pusaka kurang darai RM2 juta adalah tidak berkuatkuasa juga!)

 

 

iktisad

 

 

Dari penerangan ringkas saya di atas, untuk kesekian kalinya (saya pun dah lupa berapa ribu kali telah saya peringatkan masyarakat) dapatlah disimpulkan bahawa walaupun wasiat membantu di dalam urusan harta pusaka namun keberkesanannya hanyalah dari dua sudut sahaja iaitu pemberian 1/3 kepada bukan waris dan pelantikan wasi untuk urusan harta pusaka di Mahkamah Tinggi Sivil.

 

Di negara-negara seperti Brunei, Singapura, Qatar, United Kingdom dan Oman yang mana saya  pernah berinteraksi dengan ‘regulator’ mereka, juga disepakati pemakaian wasiat untuk orang Islam hanyalah untuk salah satu atau kedua-dua daripada fungsi yang saya sebutkan di atas. 

 

Jadi, kepada semua pihak yang terlibat di dalam industri di luar sana, nasihat saya janganlah kita sekali-kali menyeleweng dan menyembunyikan hukum dan fakta berkaitan wasiat ini atas apa sebab sekalipun.

 

Saya percaya kita mahu apa yang kita usahakan ini menjadi sebahagian daripada ibadat fardu kifayah kita dan diterima oleh Allah SWT sebagai sebahagian daripada amal kebaikan kita di dunia ini.

 

Jika benar inilah niat kita bersama, maka pastinya tindakan yang paling wajar ialah untuk kita menyampaikan perkara yang benar iaitu wasiat hanya berfungsi di dalam dua keadaan sahaja iaitu pemberian 1/3 kepada bukan waris untuk tujuan amal jariah dan pelantikan wasi untuk kes pusaka yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil.

 

Berkata dan bertindak benarlah kita kerana segala apa yang kita lakukan akan dipertanggungjawabkan kepada kita di akhirat kelak.        

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags