Fatwa negeri hibah harta bercagar tidak sah? Hibah harta bercagar tidak boleh dikuatkuasakan? (Bahagian 2) | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 20 March 2024

FATWA NEGERI HIBAH HARTA BERCAGAR TIDAK SAH? HIBAH HARTA BERCAGAR TIDAK BOLEH DIKUATKUASAKAN? (BAHAGIAN KEDUA)

 

 

 

MINGGU lepas saya sudah menjelaskan secara terperinci kewajaran hibah harta bercagar dilakukan dari aspek sosial.

 

Saya juga sudah menjelaskan apakah implikasi jangka panjang kepada harta bercagar jika ia tidak dihibahkan.

 

Dari sudut pandang dan pengalaman saya, jika harta bercagar tidak dihibahkan maka ia akan melonjakkan lagi kes perbalahan berkaitan harta pusaka sekaligus menyebabkan nilai harta pusaka tertunggak di Malaysia menjadi semakin banyak.  

 

Kesan jangka panjangnya ialah harta itu akan akhirnya dimiliki oleh puluhan malah mungkin ratusan waris. Inilah antara punca masalah harta pusaka di Kampung Baru Kuala Lumpur.

 

Pembaca boleh membaca penulisan saya minggu lepas untuk mendapat pengetahuan asas sebelum membaca artikel Bahagian Kedua ini.

 

BACA SINI: Fatwa negeri hibah harta bercagar tidak sah? (Bahagian 1)

 

Ada sesetengah pengamal undang-undang secara terbuka mengatakan bahawa oleh kerana Jawatankuasa Fatwa Negeri tersebut telah mengeluarkan pandangan bahawa hibah bagi harta di dalam cagaran ini tidak sah, maka tidaklah boleh dibuat hibah harta bercagar di negeri berkenaan kerana jika pun dibuat maka ia adalah tidak sah!

 

Saya merasa terpanggil untuk mengulas pandangan ini kerana ia adalah kurang tepat dan sangat mengelirukan masyarakat.

 

 

anekdot mawarith

 

Sama ada sesuatu hibah itu sah ataupun tidak, ia adalah di dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah negeri-negeri seperti yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan enakmen masing-masing (yang mana berkaitan).  Jadi kita perlu faham bagaimana Mahkamah Syariah membuat keputusan berkaitan sesuatu kes di hadapan mereka.

 

Pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri tersebut dinyatakan di dalam siaran umum yang dipanggil Irsyad Al-Hukmi. ‘Irsyad’ itu di dalam Bahasa Malaysia bermaksud ‘Panduan’.

 

Jadi kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa ini bukanlah fatwa yang diwartakan. Ia sekadar satu pandangan sahaja.

 

Masyarakat perlu faham bahawa hanya fatwa yang diwartakan sahaja akan menjadi undang-undang yang mengikat manakala fatwa yang bersifat ‘pandangan’ seperti yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri ini, TIDAK MENGIKAT  Mahkamah Syariah di dalam membuat keputusan sama ada hibah bagi harta bercagar itu sah ataupun tidak.

 

Untuk memastikan pandangan saya ini betul dan tidak dibuat sekadar di atas pemahaman peribadi saya sahaja, saya telah bertemu dengan pelbagai pihak berkuasa di dalam bidang ini dan semuanya mengesahkan bahawa pandangan fatwa ini TIDAK MENGIKAT Mahkamah Syariah. 

 

Walaupun demikian, situasi ini mungkin berbeza bagi kes-kes hibah harta bercagar di Negeri Selangor kerana Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telahpun mengazetkan fatwa bahawa hibah harta bercagar itu sah mengikut Hukum Syarak tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditetapkan.

 

Fatwa ini telah diwartakan pada tahun 2021. Jadi fatwa yang diwartakan ini akan mengikat Mahkamah Syariah dan menjadi sebahagian daripada undang-undang.    

 

Saya memang tidak boleh memberikan pandangan bagi mewakili hakim-hakim Mahkamah Syariah kerana saya bukanlah orangnya.

 

Namun pengalaman 26 tahun saya di dalam bidang ini menunjukkan secara jelas bahawa di dalam membuat keputusan, hakim-hakim Mahkamah Syariah ini akan berijtihad (membuat keputusan) berdasarkan maslahat kes, enakmen negeri-negeri, panduan kes sebelumnya ataupun fatwa berkaitan dan hujahan peguam.

 

Setiap satu kes adalah unik dan kerana itu keputusannya juga berkemungkinan akan berbeza-beza.

 

Inilah cantiknya sistem perundangan Syariah kerana ia tidak menggunakan pakai konsep ‘precedent’ yang mengikat sistem perundangan Sivil.

 

Kerana itu kita dapat melihat Mahkamah Syariah mengeluarkan pelbagai keputusan yang berbeza walaupun bagi kes yang bersifat sama.

 

 

anekdot mawarith

 

 

Bagaimana saya tahu fakta ini? Kerana secara meluas kami membuat penyelidikan ilmiah bersama Fakulti Pengajian Islam UKM secara berterusan dan di dalam penyelidikan-penyelidikan tersebut kami telah bertemu kes-kes hibah harta bercagar yang mana keputusannya sama ada diterima atau ditolak oleh Mahkamah Syariah.

 

Penelitian kami menunjukkan walaupun bahawa kes-kes ini memberi keputusan yang berbeza, terdapat faktor-faktor ‘common’ yang mempengaruhi keputusan tersebut dan kami mengambil faktor-faktor ini sebagai panduan untuk memperkenalkan kaedah hibah harta bercagar.

 

Atas sebab itu, kami telah mendapat banyak perintah pengesahan hibah daripada Mahkamah Syariah seluruh Malaysia yang mengesahkan hibah bagi harta bercagar yang kami laksanakan adalah sah mengikut Hukum Syarak.

 

Untuk pengetahuan para pembaca, Wasiyyah Shoppe Berhad ialah penyedia dan pelaksana terbanyak bagi kes hibah harta bercagar di Malaysia.     

 

 

anwar

 

 

Jadi untuk mana-mana pihak mengatakan bahawa MEMANG PASTI 100% kes hibah bagi harta bercagar di negeri berkenaan adalah tidak sah dan tidak akan diterima oleh Mahkamah Syariah merupakan pandangan yang kurang tepat dan tersasar.

 

Mungkin pandangan fatwa itu akan dikemukakan sebagai hujah di Mahkamah Syariah oleh peguam namun ia tidak menjamin 100% bahawa hibah harta bercagar itu akan ditolak!

 

Contohnya, di negeri yang mengeluarkan fatwa hibah harta bercagar ini tidak sah, juga telah dikeluarkan fatwa bahawa merokok itu hukumnya haram semenjak 1996 lagi. Tetapi fatwa itu tidak pernah diwartakan.

 

Ia kekal sebagai satu pandangan sahaja dan bukanlah satu undang-undang yang berkuatkuasa. Kerana itu, tiada sesiapa pernah ditangkap oleh penguatkuasa agama dan dibicarakan di Mahkamah Syariah di negeri berkenaan kerana kesalahan merokok.    

 

Satu lagi contoh di mana fatwa itu tidak mengikat ialah fatwa Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja tidak boleh dituntut sebagai harta sepencarian.

 

Sebuah Mahkamah Syariah Negeri telah membuat keputusan bahawa si isteri diberikan hak harta sepencarian ke atas simpanan KWSP arwah suaminya walaupun fatwa itu mengatakan sebaliknya.

 

Bagaimana pula hakim Mahkamah Syariah boleh membuat keputusan yang bertentangan dengan fatwa ini?

 

Pertamanya kerana fatwa ini adalah pandangan semata-mata dan fatwa Muzakarah Fatwa Kebangsaan tidak mengikat Mahkamah Syariah yang terletak di bawah bidang kuasa Negeri.

 

Fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri pula hanya akan mengikat Mahkamah Syariah sekiranya ia digazetkan.   

 

Keduanya seperti yang saya jelaskan di atas, hakim bebas berijtihad berdasarkan maslahat juga.

 

Di dalam kes ini hakim melihat bahawa  KWSP itu yang merupakan satu-satunya harta pusaka peninggalan suami adalah sangat kritikal kepada balu dan anak-anaknya untuk meneruskan kehidupan mereka. Maka hakim memutuskan si balu berhak ke atas KWSP itu sebagai harta sepencarian.   

 

 

anekdot mawarith

 

 

Sebagai organisasi pertama yang bertanggungjawab memperkenalkan perkhidmatan hibah harta bercagar kepada masyarakat Malaysia semenjak 2017, saya sebenarnya memandang fatwa ini sebagai satu hikmah.

 

Ia membuka jalan kepada kami untuk membentangkan dapatan penyelidikan ilmiah kami kepada Jabatan Mufti. Islam itu indah dan syumul (menyeluruh). Kami menemui pandangan-pandangan yang menarik rentas mazhab ahlus sunnah wal jamaah bagi isu ini.

 

Kepada rakyat Malaysia, buatlah hibah harta bercagar anda bersama Wasiyyah Shoppe Berhad kerana perkhidmatan kami disokong oleh data penyelidikan ilmiah mantap, rekod perkhidmatan yang terbukti semenjak 20 tahun yang lepas, strategi pelaksanaan yang tuntas dan pastinya di belakang kami terdapat 7 orang Panel Syariah yang berpengalaman luas dan berkemahiran tinggi di dalam bidang fiqh mawarith.  

 

 

ariffin sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews

  

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

  

Portfolio Tags