JANGAN BERUMAH DI TEPI PANTAI JIKA TAKUT DILAMBUNG OMBAK
Ini pepatah Melayu yang membayangkan bahawa jika kita takut untuk berhadapan dengan sesuatu cabaran yang berat, maka janganlah kita berani meletakkan diri kita di dalam risiko itu.
Saya seorang usahawan. Saya membangunkan Wasiyyah Shoppe Berhad semenjak tahun 2004 daripada sifar sehinggalah di mana ia berada hari ini.
Para pembaca artikel ini boleh menilai sendiri prestasi kewangan Wasiyyah Shoppe Berhad kerana ia diterbitkan bagi tatapan umum di laman web kami. Ini adalah antara contoh tahap tadbir urus dan ketelusan yang kami amalkan selama ini.
Saya tidaklah berbangga sangat dengan pencapaian ini kerana saya sentiasa merasakan ada ruang penambahbaikan yang lebih besar lagi perlu dibuat. Ada cara lebih cekap untuk membantu lebih ramai orang Islam merancang harta mereka mengikut kaedah Syariah.
Saya sentiasa berfikir apa bentuk usaha digitalisasi yang lebih ‘seamless’ boleh diperkenalkan supaya lebih banyak masyarakat mendapat manfaat.
Selepas berusia 20 tahun, kini saya berpandangan bahawa Wasiyyah Shoppe Berhad sudah bersedia untuk melangkah ke tahap yang lebih tinggi.
Saya ingin menjadikan syarikat amanah ini sebagai syarikat pilihan kepada masyarakat apabila mereka ingin merancang harta mengikut kaedah Syariah.
Saya mahukan Wasiyyah Shoppe Berhad dikenali sebagai syarikat amanah yang boleh dipercayai, mempunyai integriti yang terpuji, tahap tadbir urus korporat terbaik dan mempunyai tahap kemapanan perniagaan yang tinggi.
Kenapa perlu syarikat ini diangkat sehingga ke tahap itu? Kerana tidak seperti syarikat perniagaan biasa, Wasiyyah Shoppe Berhad memegang amanah yang diberikan oleh masyarakat.
Lebih 80,000 pelanggan meletakkan amanah supaya Wasiyyah Shoppe Berhad membantu waris-waris mereka melalui proses perundangan turun milik semua harta pusaka mereka dengan mudah dan cepat.
Pelanggan membayar kerana mereka yakin dengan perkhidmatan dan trek rekod kami. Ini amanah yang tidak boleh dikhianati. Ini amanah yang jika gagal dilaksanakan, saya akan dipersoalkan di depan Allah SWT.
Berbeza dengan perniagaan lain yang kaitannya hanya kepada dunia, perniagaan Wasiyyah Shoppe Berhad ini melibatkan akhirat juga. Oleh kerana itu, Wasiyyah Shoppe Berhad mesti sentiasa wujud dalam apa keadaan sekalipun termasuk selepas saya mati.
Saya sangat yakin bahawa Wasiyyah Shoppe Berhad ialah ladang akhirat saya. Saya sangat berharap supaya apa yang saya lakukan selama ini akan menjadi ilmu yang bermanfaat yang akan menjadi saham akhirat saya seperti hadisnya Rasulullah SAW.
Pada saya apa yang saya buat hari ini bukan sekadar satu perniagaan tetapi lebih besar lagi ialah satu ibadat fardu kifayah. Semoga Allah SWT menerima segala usaha ini sebagai sebahagian amal kebaikan saya di dunia ini.
Namun usaha untuk membawa Wasiyyah Shoppe Berhad ke tahap seterusnya ini bukanlah satu usaha yang mudah. Saya berdepan dengan pelbagai ujian dan godaan yang hebat.
Saya digoda dengan peluang mencipta kemewahan yang berlimpah-ruah. Dicanang betapa apabila Wasiyyah Shoppe Berhad ini sudah berada di dalam liga budak-budak besar (big boys league), saya boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan golongan elit di Malaysia.
Sangat menggoda bayangan itu. Hidup dengan penuh kemewahan dan kesenangan. Diasak saya dengan persoalan, “Engkau sudah bekerja puluhan tahun membanting tulang. Kalau bukan engkau yang menikmatinya siapa lagi? Kalau bukan sekarang bila lagi?”
Namun semua kemewahan ini hanya boleh datang dengan pengorbanan yang besar iaitu saya perlu bersedia untuk menghumban integriti saya ke laut.
Saya perlu bersedia untuk mengorbankan segala prinsip yang saya perjuangkan selama ini semata-mata bagi mengejar kemewahan dunia.
Bila saya mendengar bagaimana caranya untuk menambah kekayaan melalui proses ini, saya termenung panjang. Siapa yang tidak mahu kekayaan.
Namun adakah harga kepada kekayaan itu ialah menggadaikan integriti diri sendiri?
Saya ada dua pilihan di tangan. Pilihan pertama, saya boleh sahaja mengejar kekayaan duniawi dengan mengorbankan segala prinsip integriti yang saya pegang seumur hidup.
Butakan mata, pekakkan telinga, sambar apa sahaja peluang yang lalu di depan mata, baik halal atau haram.
Buat apa sahaja tindakan yang perlu walaupun ia menganiaya dan menipu orang lain asalkan sahaja kantung kita boleh dipenuhkan.
Jangan peduli dengan apa kesan kepada orang di sekeliling bila kita bertindak mementingkan poket sendiri. Biarkan orang lain menangis menderita dengan perbuatan kita dalam keadaan kita ketawa terbahak-bahak kekenyangan.
Atau saya juga boleh buat pilihan kedua. Ikuti segala peraturan dan undang-undang sedia ada dengan patuh. Berniaga secara beretika dan menjadikan Kompas moral sebagai panduan utama.
Hormati hak orang lain di sekeliling saya. Jangan memanipulasi dan mengeksploit orang lain untuk kesenangan diri sendiri.
Pilihan kedua ini tidak akan menjadikan saya semewah pilihan pertama namun ‘conscious’ hati saya akan terpelihara. Saya boleh tidur dengan lena waktu malam dan mudah bangkit awal pagi untuk melalui rutin kehidupan biasa saya. Hati saya akan tenang dengan pilihan kedua ini. Bukankah di antara rezeki yang paling kita cari-cari di dalam kehidupan ialah ketenangan hati?
Pihak-pihak yang cuba mempengaruhi saya untuk membuat pilihan pertama akan pantas mengatakan saya bodoh dan kolot kerana tidak mahu mengaut kekayaan walaupun peluang itu sudah terhidang di depan mata.
Memang saya tahu sayalah yang paling berhak untuk ganjaran besar itu memandangkan saya telah bekerja keras selama 20 tahun dan berkorban segala-galanya untuk membangunkan syarikat.
Namun pada saya biarlah mereka dengan tanggapan mereka. Saya tegar dengan pilihan kedua.
Saya berani berumah di tepi pantai dan berani juga dilambung ombak kerana penyerahan saya secara total hanyalah kepada Allah SWT. Jika ditakdirkan rezeki saya ada, ucapan Alhamdulillah tidak akan lekang dari bibir saya.
Jika tiada rezeki pada ketika ini, saya tidak akan pernah berputus-asa untuk mencuba kerana saya percaya ada sesuatu yang lebih baik sedang Allah ‘reserve’ untuk saya pada masa hadapan.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH