Kalau buat hibah, nanti waris berbalah, tidak puas hati formula agihan harta tidak adil! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 31 January 2024

KALAU BUAT HIBAH, NANTI WARIS BERBALAH, TIDAK PUAS HATI FORMULA AGIHAN HARTA TIDAK ADIL!

 

 

 

INI naratif yang cuba dibina oleh pihak tertentu berkaitan dengan aplikasi hibah di dalam perancangan harta.

 

Saya diberikan satu video oleh daie Wasiyyah Shoppe Berhad. Video itu diberikan oleh pelanggannya yang sudah pun membuat hibah dengan Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Pelanggan itu merasa keliru kerana apa yang diucapkan oleh penceramah di dalam video itu seolah-olah menjurus kepada perbuatan membuat hibah itu merupakan cubaan untuk melarikan diri dari Hukum Faraid dan bercanggah dengan Hukum Syarak.

 

Malah di dalam video itu, penceramah itu juga dengan bangganya mengatakan bahawa dia telah berjaya memujuk semua waris supaya mengenepikan hibah yang dibuat oleh bapa dan mengagihkan harta pusaka mengikut Hukum Faraid.

 

Penceramah juga mengatakan bahawa hibah yang dibuat oleh si bapa itu telah menyebabkan waris-warisnya berbalah sesama sendiri.

 

Sebenarnya video ini sudah lama viral dan sudahpun saya jawab beberapa kali mengenai kekeliruan yang ditimbulkan di dalam video itu.

 

Tetapi malangnya video ini masih berlegar di dalam masyarakat dan terus mencetuskan kekeliruan.


 

iktisad

 


Saya tidak pasti sama ada penceramah itu telah membetulkan kenyataannya yang kurang tepat itu namun video ini  terus menjadi polemik di dalam masyarakat.

 

Jadi untuk kesekian kalinya, terpaksalah saya menjawab sekali lagi supaya isu hibah ini dapat dijelaskan sejelas-jelasnya.

 

Pertamanya, kes yang disebut oleh penceramah di dalam video itu BUKANLAH SATU AKAD HIBAH.

 

Ia adalah kes di mana si suami telah menukar nama tanah miliknya kepada nama isteri ketiga yang bertindak sebagai pemegang amanah untuk anak-anak mereka yang masih di bawah umur 18 tahun.

 

Di dalam masa yang sama, si suami ini juga mempunyai anak-anak daripada isteri pertama dan isteri kedua (kedua-dua isteri ini telah lama meninggal dunia).

 

Jadi, anak-anak daripada isteri pertama dan isteri kedua ini tidak berpuas hati kerana ‘hibah’ yang dibuat oleh si ayah ini telah mengenepikan hak mereka mengikut hukum faraid ke atas harta tersebut.

 

Penceramah jelas telah terkeliru tentang perbezaan di antara hibah dan pemegang amanah.

 

Apa yang dibuat oleh si ayah ini sebenarnya ialah melantik pemegang amanah iaitu satu prosedur di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan bukannya hibah seperti yang tertakluk di bawah Hukum Syarak.

 

Namun kerana terlalu ingin sangat membina naratif bahawa hibah tidak adil, maka disebutlah olehnya bahawa itu adalah hibah.


 

parafrasa

 


Keduanya, disebutkan oleh penceramah di dalam video itu bahawa hibah berpotensi menyebabkan perbalahan kerana akan ada waris yang tidak berpuashati akibat formula  agihan harta yang tidak adil.

 

Sekali lagi penceramah ini terkeliru atau mungkin juga terlalu bersemangat untuk membina naratif hibah itu tidak adil maka dia berkata sedemikian.

 

Saya sudah terlibat di dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka semenjak 1998 lagi.

 

Saya tahu secara fakta, melihat dengan mata kepala sendiri dan melalui pengalaman menguruskan harta pusaka ribuan orang, saya tahu bahawa bukannya hibah ataupun faraid itu yang menyebabkan perbalahan.

 

Sebaliknya perbalahan muncul kerana ketidakfahaman umat Islam tentang hukum-hukum berkaitan harta pusaka itu sendiri.

 

Masalah ini bukan hanya dihadapi oleh umat Islam di Malaysia, malah di seluruh dunia apabila saya dijemput membentang kertas kerja atau memberi ceramah di negara-negara berkenaan.

 

Umat Islam di Malaysia contohnya sudah lama berbalah mengenai harta pusaka lama sebelum Wasiyyah Shoppe Berhad memperkenalkan hibah pada tahun 2004 malah lebih lama sebelum saya sendiri bergiat aktif di dalam industri pada tahun 1998.  

 

Jadi bagaimana penceramah itu boleh berhujah bahawa hibah yang menyebabkan perbalahan?


 

waionuiomata

 


Ketiganya, di dalam video itu penceramah ini juga dengan bangganya menceritakan bahawa dia telah berjaya memujuk semua waris untuk menukar status harta itu daripada apa yang dianggapnya sebagai ‘hibah’ kepada harta pusaka dan diagihkan mengikut Hukum Faraid. Sebenarnya bukan hibah kerana ia transaksi pemegang amanah!

 

Kenyataan ini paling menakutkan saya kerana ia amat tidak bertanggungjawab.

 

Bagaimana pula kita yang masih hidup dan tidak tahu apa-apa tentang hasrat simati boleh mempengaruhi waris untuk mengubah ‘hibah’ yang telah dibuatnya kepada harta pusaka dan diagih mengikut Hukum Faraid?

 

Kita bercakap seolah-olah ‘hibah’ (di dalam kes ini ia bukan hibah kerana ia adalah harta pemegang amanah) tidak mengikut Hukum Syarak dan berdosa dilakukan.

 

Saya dapati ramai orang yang bercakap tentang perancangan harta di Malaysia sebenarnya tidak faham langsung apa perbezaan di antara ‘harta’ dan ‘harta pusaka’.

 

Ketidakfahaman inilah yang menyebabkan mereka terkeliru dengan mengatakan hibah melarikan diri dari Hukum Faraid.    

 

‘Harta’ ialah apa sahaja milikan kita semasa kita masih hidup. Selagi masih bernyawa, kita adalah tuanpunya ‘harta’ dan kerana itu kita bebas untuk membuat apa sahaja ke atas ‘harta’ itu seperti menghibahkannya, mewakafkannya, menyedekahkannya, menjualnya, menggadainya atau apa sahaja transaksi ke atasnya.

 

Transaksi ini berkuatkuasa ketika kita masih hidup. Terserahlah kepada kita sebagai tuan punya ‘harta’ untuk buat apa yang kita mahu ke atasnya.

 

Dalam konteks hibah pula, ramai salah faham kerana beranggapan bahawa hibah itu hanya sah bila pindah milik nama di atas geran (sekiranya ia adalah hartanah) berlaku.

 

Kalau pindah milik ini tidak berlaku, maka hibah itu belum sempurna katanya. Inipun pandangan yang kurang tepat juga.


 

iktisad

 


Hibah itu sah apabila semua rukun dan syaratnya disempurnakan. Wasiyyah Shoppe Berhad telah melalui ratusan kes di Mahkmah Syariah di mana pindah milik tidak berlaku dan hibah itu disahkan sebagai patuh Hukum Syarak dan berkuatkuasa.  

 

Apabila kita mati, ‘harta’ ini telah bertukar status kepada ‘harta pusaka’. ‘Harta pusaka’ wajib diagihkan secara Hukum Faraid kepada waris-waris yang layak.

 

Harta yang telah dihibahkan semasa hidupnya tuan punya BUKANLAH HARTA PUSAKA dan kerana itu ia tidak wajib difaraidkan.  

 

Saya terpaksa mengulas isu video ini dan memohon maaf sekiranya ia menyinggung perasaan sesetengah pihak.

 

Ini kerana ia mencetuskan kekeliruan yang  bukan sedikit kepada masyarakat.

 

Saya sudah pun mula berceramah di dalam masyarakat tentang Hukum Faraid semenjak 1998. Pada ketika itu hanya ada beberapa orang sahaja (penceramah di dalam video ini tidak termasuk) yang aktif mendidik masyarakat tentang hukum-hakam berkaitan harta dan harta pusaka ini.

 

Kami (generasi awal yang menggerakkan industri perancangan harta di Malaysia) faham bahawa setiap satu hukum itu baik yang melibatkan Hukum Faraid, hibah, wasiat, wisoyah, wakalah atau pengamanahan, semuanya unik  dan tersendiri.

 

Semuanya mempunyai persyariatan tersendiri dan semuanya diturunkan oleh Allah SWT, disunnahkan oleh Rasulullah SAW dan dibincangkan secara terperinci dan ilmiah oleh ulama-ulama tersohor.  

 

Sekiranya dilaksanakan dengan baik dan tepat, ia bukan sahaja mengelakkan perbalahan waris malah membantu urusan harta pusaka di Malaysia.

 

Jadi janganlah kita berterusan mengelirukan masyarakat dengan kenyataan-kenyataan separuh masak yang tidak bertanggungjawab.

 

Ingatlah kita akan berdiri di hadapan Allah SWT dan dipertanggungjawabkan atas segala tindakan kita di atas muka bumi ini.   


 

ariffin sabirin
ARIFFIN SABIRIN adalah Pengasas dan CEO Kumpulan Wasiyyah Shoppe Bhd

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

dagangnews

 

 

Portfolio Tags