Hartalega, Kossan terima manfaat besar jika perdagangan sarung tangan dialihkan ke Malaysia dari China - HLIB | DagangNews Skip to main content

Hartalega, Kossan terima manfaat besar jika perdagangan sarung tangan dialihkan ke Malaysia dari China - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Jan - Hartalega Holdings Bhd dan Kossan Rubber Industries Bhd berkemungkinan besar menerima manfaat sekiranya perdagangan dialihkan ke Malaysia berikutan isu kualiti yang berkaitan dengan sarung tangan China bersama-sama dengan kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS).

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, pengedar sarung tangan getah perubatan AS dijangka mengutamakan syarikat ternama dan hubungan perniagaan yang terjalin.

 

"Oleh itu, kami melihat Hartalega dan Kossan sebagai penerima yang jelas, memandangkan status penyenaraian mereka dan mempunyai pendedahan yang lebih tinggi kepada pelanggan AS.

 

"Selain itu, Hartalega dan Kossan tidak pernah diberikan Perintah PengeluaranPenahanan (WRO) oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan AS sebelum ini. 

 

"Secara keseluruhannya, trend ini akan memberi manfaat kepada kebanyakan pemain Malaysia, tetapi ia lebih berpihak kepada Hartalega dan Kossan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dinamik bekalan permintaan global untuk sarung tangan getah perubatan diunjur mencapai keseimbangan menjelang 2025, dengan kadar penggunaan kilang global bertambah baik kepada 85%, meningkat daripada 65% pada 2024. 

 

Katanya, ia didorong aktiviti penyimpanan semula sebagai tindak balas kepada penyusutan inventori, bersama-sama dengan pengembangan kapasiti yang lebih rasional dalam kalangan pemain serantau.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan momentum pemulihan yang berterusan dalam jumlah jualan bagi pembuat sarung tangan di bawah liputan kami. 

 

"Buat masa ini, kami memerhatikan trend jualan yang lebih baik dalam kalangan pemain Malaysia sejak berada di peringkat terendah pada suku kedua dan ketiga 2023," katanya.

 

HLIB berkata, mekanisme pelepasan kos untuk Kossan dan Hartalega telah dipulihkan secara beransur-ansur kepada 100% menjelang November dan Disember 2024. 

 

Katanya, sebahagian besarnya disokong hubungan perniagaan mereka yang kukuh dengan pengedar AS, yang membolehkan mereka memanfaatkan mekanisme harga "premium AS" dari pesanan Oktober 2024 dan seterusnya.

 

Sebaliknya, rakan setara tersenarai lain ketinggalan, hanya mencapai kadar pelepasan kos 70% pada akhir 2024.

 

Di sebalik ancaman Donald Trump terhadap tarif, HLIB melihat Malaysia bukanlah sasaran utama, kerana ia disenaraikan sebagai rakan kongsi defisit perdagangan ke-13 terbesar dengan AS pada 2023.

 

HLIB menyemak turun penarafan sektor itu kepada "neutral" berikutan prestasi harga saham yang kukuh sejak pertengahan September 2024.

 

"Walaupun kami kekal optimistik tentang keadaan operasi yang bertambah baik bagi pengeluar sarung tangan," katanya.- DagangNews.com