KUALA LUMPUR 15 Jan - Theta Edge Bhd memaklumkan perjanjian usaha sama (JV) anak syarikatnya dengan sebuah syarikat sains data untuk membangunkan rumusan kecerdasan buatan (AI) dan blockchain, telah dibatalkan.
Syarikat telekomunikasi dan teknologi itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Theta Innovation Sdn Bhd (TISB) dan iStream360 Sdn Bhd, telah bersetuju untuk menamatkan perjanjian JV yang ditandatangani pada 21 November tahun lalu.
"Setelah mempertimbangkan semua aspek, lembaga berpendapat pembatalan ini adalah keputusan yang baik untuk kepentingan Theta," kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, semalam.
Theta berkata, pembatalan perjanjian tersebut tidak akan menimbulkan sebarang kos dan tidak akan mempunyai sebarang kesan undang-undang ke atas syarikat.
TISB dan iStream360 menandatangani perjanjian JV dengan niat untuk menubuhkan sebuah firma baru dengan pembahagian 51:49, bagi mengenal pasti projek-projek masa depan dalam bidang AI, blockchain dan pembangunan sistem lanjutan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua syarikat.
Saham syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama itu ditutup merosot empat sen atau 2.99% kepada RM1.30 semalam, menjadikan nilai syarikat sebanyak RM153.36 juta. - DagangNews.com