Kenapa kritikal untuk buat hibah harta dengan syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 31 Jul 2024 07:00 AM

KENAPA KRTIKAL UNTUK BUAT HIBAH HARTA DENGAN SYARIKAT AMANAH SEPERTI WASIYYAH SHOPPE BERHAD?

 

 

 

Soalan ini kembali ditanyakan kepada saya walaupun pernah saya mengulasnya banyak kali di dalam penulisan saya.

 

Mungkin masih ramai masyarakat yang tidak jelas kedudukan syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad di dalam urusan penghartaan.

 

Jadi buat kesekian kalinya saya jelaskan kembali. Penjelasan saya kali ini akan fokus kepada unsur kelangsungan organisasi.

 

Syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad berdaftar di bawah  Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.  

 

 

wasiyyah

 

 

Untuk mendapat kelulusan sebagai syarikat amanah, ada banyak kriteria kelayakan yang perlu dipenuhi.

 

Di antaranya ialah kelayakan profesional dan pengalaman pihak Lembaga pengarah dan pengurusan terutamanya di dalam urusan penghartaan, struktur organisasi yang kukuh, tahap tadbir urus korporat yang baik dan modal berbayar yang mencukupi.

 

Sebelum pelantikan saya sebagai ketua pegawai eksekutif berkuatkuasa, saya juga telah melalui proses temuduga oleh 5 orang panel di mana saya disoal mengenai pengetahuan saya berkenaan undang-undang yang berkaitan serta tanggungjawab saya sebagai peneraju syarikat amanah.

 

Hanya apabila saya lulus temuduga ini barulah pelantikan saya sebagai ketua pegawai eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad dianggap telah sah dan berkuatkuasa.

 

Kenapa proses untuk mendapat kelulusan sebagai syarikat amanah itu sangat ketat dan rumit? Kerana bidang kuasa syarikat amanah ini amat luas dan Kerajaan perlu memastikan pihak yang mendapat kelulusan ini benar-benar berkemampuan menjalankan tanggungjawab seperti yang diamanahkan.  

 

Tujuan utama syarikat amanah ditubuhkan ialah seperti yang diperuntukkan di dalam seksyen 8 akta tersebut.

 

Seksyen ini meliputi peruntukan Seksyen 8(1)(a) sehingga (p) namun yang terkait rapat dengan masyarakat ialah Seksyen 8(1)(a)(b)(c) yang secara spesifik menjelaskan bahawa syarikat amanah ini mempunyai bidang kuasa dalam perkara berikut :

 

  • Menjadi pentadbir wasi, pentadbir, pemegang amanah, penerima, penerima dan pengurus, pemegang serah hak, pelikuidasi, penjaga harta seorang budak, jawatankuasa bagi estet orang bercelaru mental

 

  • bertindak sebagai wakil atau ejen bagi pemungutan, penerimaan dan pembayaran wang, dan bagi penggulungan estet atau harta pusaka, dan bagi penjualan atau pembelian apa-apa harta alih atau harta tak alih

 

  • bertindak sebagai ejen bagi menguruskan dan mengawal harta alih dan harta tak alih untuk dan bagi pihak pemunya harta itu, atau untuk atau bagi pihak wasi, pentadbir atau pemegang amanah,

 

  • bertindak juga sebagai ejen pelaburan dan kewangan untuk dan bagi pihak wasi, pentadbir dan pemegang amanah atau mana-mana jua orang lain, dan menerima wang sebagai amanah bagi pelaburan dan mengusahakan untuk dan bagi pihak wasi, pentadbir dan pemegang amanah atau mana-mana jua orang lain perundingan mengenai segala perihalan pinjaman dan memperoleh dan memberikan pinjaman wang atas cagaran apa-apa perihalan harta, tak alih atau alih, atau tanpa mengambil apa-apa sekuriti atas apa-apa terma sebagaimana yang diaturkan, dan memberikan pendahuluan dan meminjamkan wang untuk melindungi mana-mana estet atau harta pusaka, amanah atau harta yang diamanahkan kepada syarikat itu seperti yang disebut terdahulu dan mengenakan caj atas pendahuluan itu:

 

 

Bidang kuasa yang saya nyatakan ini TIADA pada syarikat Sdn Bhd, firma guaman atau individu yang banyak menawarkan perkhidmatan membuat dokumen hibah di dalam masyarakat hari ini.

 

Saya faham ada di antara syarikat sdn bhd atau individu ini mengatakan bahawa dokumen hibah mereka disediakan oleh panel firma guaman yang berpengetahuan di dalam bidang penyediaan hibah.

 

Secara teknikalnya hujah ini betul namun ia betul hanya ke setakat penyediaan dokumen sahaja sedangkan urusan hibah melangkaui lebih daripada itu.  

 

Lebih besar daripada itu, urusan hibah ini  ialah berkenaan tentang pelaksanaan proses undang-undang selepas kematian pemilik harta.

 

 

wasiyyah

 

 

Hakikatnya  syarikat sdn bhd ini boleh ditutup pada bila-bila masa sahaja selaras dengan peruntukan Akta Syarikat 2016. Malah firma guaman juga boleh ditutup apabila pemilik atau rakan kongsinya meninggal dunia atau tidak berminat lagi meneruskan perniagaan itu.

 

Jika syarikat sdn bhd dan firma guaman yang  menyediakan dokumen hibah anda ini sudah ditutup, dengan siapakah waris-waris anda ingin dapatkan bantuan pada masa hadapan bagi proses pelaksanaan undang-undang urusan hibah harta anda?  

 

Yang mengetahui kenapa format dokumen hibah itu dibuat sedemikian rupa ialah syarikat sdn bhd itu dan firma guamannya.  

 

Di sinilah masyarakat perlu faham bagaimana syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad yang mempunyai bidang kuasa seperti di atas dapat memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan.

 

Mengikut Seksyen 33 akta tersebut :

 

Seksyen 33. Penggulungan sukarela atau pelupusan syer boleh dihalang

Selagi mana-mana estet atau harta pusaka yang berkenaan dengannya suatu syarikat amanah ialah pemegang amanah masih tidak ditadbirkan kesemuanya atau sebahagiannya, maka tidaklah sah untuk terus menggulung syarikat itu secara sukarela, melainkan dengan izin Mahkamah, dan sahlah bagi mana-mana orang yang berkepentingan dalam estet atau harta pusaka itu, atau yang mungkin ada apa-apa tuntutan berkenaan dengannya, memohon kepada Mahkamah secara terus melalui usul untuk menghalang mana-mana pengarah atau mana-mana pemegang syer daripada melupuskan apa-apa syer yang mungkin dipegang oleh pengarah atau pemegang syer itu dalam syarikat itu atau untuk menghalang penggulungan sukarela syarikat itu, dan Mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat apa-apa perintah sebagaimana yang difikirkannya adil.

 

Ini bermakna Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai syarikat amanah tidak boleh sewenang-wenangnya menutup operasi. Perintah mahkamah diperlukan bagi tujuan ini.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad sehingga hari ini mempunyai lebih daripada 90,000 orang pelanggan dan adalah mustahil kami boleh sampai ke tahap menyelesaikan kesemua urusan pelanggan ini sehingga membolehkan mahkamah membenarkan penutupan operasi kami.

 

Keadaan ini pastinya sangat berbeza dengan situasi syarikat sdn bhd ataupun firma guaman yang boleh menutup operasi pada bila-bila masa.

 

Dalam erti kata lain, kepada para pelanggan yang membuat hibah melalui Wasiyyah Shoppe Berhad bukan sahaja mereka mendapat akses kepada kepakaran dan pengalaman kolektif Panel Syariah dan pasukan Syariah kami, malah lebih penting lagi mereka boleh merasa selamat kerana perkhidmatan pelaksanaan perundangan untuk waris-waris mereka pada masa hadapan adalah lebih terjamin.

 

 

wasiyyah

 

 

Ariffin akan mati namun perkhidmatan pelaksanaan proses undang-undang hibah pelanggan Wasiyyah Shoppe Berhad tidak akan terjejas dan akan tetap terlaksana kerana peruntukan Seksyen 33 di atas.

 

Inilah faktor paling penting kenapa anda perlu membuat hibah melalui Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Selain daripada jaminan dokumen yang dibuat akan tetap diuruskan kerana unsur ‘perpetuity’ di atas, Wasiyyah Shoppe Berhad  juga dapat menyesuaikan peruntukan bidang kuasa Seksyen 8 di atas ke dalam format dokumen hibah yang kami sediakan.

 

Fikirkan rasionalnya.  

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews