Kenapa tidak boleh membuat hibah dengan organisasi lain selain daripada syarikat amanah? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 07 Aug 2024 07:11 AM

KENAPA TIDAK BOLEH MEMBUAT HIBAH DENGAN ORGANISASI LAIN SELAIN DARIPADA SYARIKAT AMANAH?

 

 

Susulan daripada artikel saya minggu lepas, ramai yang bertanya soalan di atas.

 

Saya tidak pernah mengatakan ‘TIDAK BOLEH’ membuat hibah dengan organisasi lain selain daripada syarikat amanah. Terserah kepada anda dengan siapa atau di mana anda ingin membuat dokumen hibah anda.

 

Saya cuma menceritakan kelebihan membuat dokumen hibah dengan syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad terutamanya dari dua sudut iaitu dari sudut bidang kuasa kami seperti yang termaktub di dalam Seksyen 8 dan dari sudut kelangsungan operasi seperti yang termaktub di dalam Seksyen 33 Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100).

 

Oleh kerana urusan hibah ini terkait rapat dengan perundangan maka masyarakat perlu memastikan bahawa organisasi di mana mereka membuat hibah itu mempunyai punca kuasa yang jelas di dalam undang-undang bagi tujuan tersebut.  

 

Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai syarikat amanah mempunyai punca kuasa yang jelas seperti yang saya jelaskan minggu lepas.

 

Bidang kuasa di dalam Seksyen 8 itu sangat luas seperti untuk menjadi wasi, pentadbir harta pusaka, pemegang amanah, pengurus harta alih dan tidak alih, memegang harta untuk anak di bawah umur 18 tahun dan sebagainya.

 

Jadi jika anda membuat dokumen hibah dengan Wasiyyah Shoppe Berhad dan wujud keperluan untuk kami memainkan tanggungjawab seperti di atas, kedudukannya adalah sangat jelas.

 

 

wasiyyah

 

 

Urusan hibah ialah urusan jangka panjang

Urusan hibah ialah urusan jangka panjang yang mungkin akan berlaku 10, 20 atau 40 tahun akan datang daripada tarikh sesuatu dokumen hibah itu dibuat.

 

Maka masyarakat juga perlu memastikan bahawa organisasi yang membantu mereka menyediakan dokumen hibah itu masih wujud ketika dokumen ini mahu dilaksanakan pada masa itu. Seksyen 33 Akta Syarikat Amanah 1949 menjamin kelangsungan Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Ariffin akan mati bila sampai masanya, namun Wasiyyah Shoppe Berhad akan terus wujud kerana ia keperluan undang-undang yang dipertanggungjawabkan kepada pemegang saham dan ahli Lembaga pengarah kami seramai 8 orang.

 

Kenapa  ini perlu menjadi faktor pemberat kepada anda? Kerana waris-waris anda akan memerlukan perkhidmatan pembuat dokumen hibah itu bagi membimbing waris melalui proses perundangan yang berkenaan.

 

Jika pihak yang membuat dokumen hibah itu telah mati lebih awal atau organisasinya telah ditutup, kepada siapakah waris kita ingin berpaling.

 

Ada hujah mengatakan sesiapapun boleh melaksanakan dokumen itu asalkan ia telah wujud. Jadi tiada isu siapapun yang membuat dokumen hibah itu. Hujah ini langsung tidak tepat.

 

Yang membuat dokumen itu sahaja yang faham kenapa dokumen itu didraf sedemikian rupa. Waima kenapa sesuatu tanda titik dan koma itu berada di dalam klausa tertentu itu juga mempunyai hujahnya yang tersendiri.

 

Jadi jika pihak tersebut telah tiada/ tidak wujud dan pada ketika itulah timbul pelbagai isu yang memerlukan dokumen hibah itu dibawa ke dalam sistem perundangan, siapakah yang akan berhujah kenapa dokumen itu sedemikian rupa bentuknya?

 

wasiyyah

 

 

Setiap pihak mempunyai pengetahuan dan pengalaman masing-masing

Walaupun demikian, saya bersetuju dengan hujah yang mengatakan bahawa setiap pihak mempunyai pengetahuan dan pengalaman masing-masing dalam mendraf serta melaksanakan hibah.

 

Sangat tidak adil untuk saya atau mana-mana pihak berhujah bahawa dokumen hibah yang kami buatlah yang paling terbaik dan sempurna. Semua pihak mempunyai kepandaiannya masing-masing.

 

Bezanya mungkin di antara kepakaran individu dan organisasi seperti Wasiyyah Shoppe Berhad ialah kaedah dan disiplin pengumpulan ilmu dan pengalaman itu.

 

Individu mungkin mengumpul ilmu dan pengalaman itu melalui pengajian formal, pembacaan, kehadiran di dalam seminar, kursus, sijil atau melalui proses perundangan yang pernah dilalui oleh rakan-rakan atau dirinya sendiri. Jadi ia lebih kepada pengalaman peribadi.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad pula melalui pelbagai pengalaman semenjak 2004 menyediakan dokumen hibah dan menguruskan proses perundangan berkaitannya untuk rakyat Malaysia.

 

Kami faham setiap kes adalah unik dan berbeza. Seingat saya yang bergelumang di dalam industri perancangan harta Islam semenjak 1998, Wasiyyah Shoppe Berhad ialah organisasi pertama yang memperkenalkan hibah secara sistematik di Malaysia. Pada tahun 2004 itu, semua pihak di dalam industri mempromosikan wasiat.  

 

Dari sudut ilmiah pula, Wasiyyah Shoppe Berhad mendapat sumbangan input ilmiah yang sangat berharga daripada 7 orang Panel Syariah kami yang memang mempunyai kelayakan akademik (PhD Syariah) dan berpengalaman luas selama 25-45 tahun di dalam urusan fiqh mawarith dan proses perundangan harta pusaka.

 

Ditambah pula dengan penyelidikan ilmiah ekstensif yang telah kami lakukan semenjak sekian lama dengan pelaburan melebihi RM2 juta semenjak 2004, dokumen hibah dan produk-produk lain yang kami bangunkan memang inovatif namun masih dalam lingkungan parameter Syariah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. 

 

 

wasiyyah

 

 

Jadi disiplin ilmu di Wasiyyah Shoppe Berhad ialah semua produk kami dibangunkan secara kolektif oleh Panel Syariah dan berteraskan penyelidikan ilmiah oleh pasukan penyelidik kami manakala pengurusannya dibuat oleh pasukan Jabatan Syariah kami yang kesemuanya mempunyai kelayakan akademik Syariah. Keseluruhan orang yang terlibat di dalam proses ini melebihi 30 orang !

 

Oleh itu walaupun selepas Ariffin mati, kepakaran untuk pelaksanaan dokumen hibah itu tidak terjejas kerana selain kelangsungan operasi Wasiyyah Shoppe Berhad sendiri,  ada 29 orang lain yang juga tahu bagaimana proses pelaksanaan itu dibuat.

 

Pengetahuan ini kesemuanya disusun dengan tertib dan bersistematik di dalam arkib ilmu yang telah kami bangunkan semenjak 20 tahun lepas.   

  

Terserah kepada masyarakat untuk membuat pilihan

Walau apapun saya percaya bahawa masyarakat bebas untuk membuat pilihan yang terbaik berdasarkan keperluan sendiri. Sebagai pemimpin organisasi, saya faham bahawa tidak semua orang akan memilih Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Akan sentiasa ada masyarakat yang pertimbangan utamanya bukanlah punca kuasa, pengetahuan mahupun kelangsungan organisasi.

 

Mereka mungkin mempunyai pertimbangan yang lain. Pada saya isu pilihan ini tidak menjadi masalah asal sahaja mereka bertindak untuk membuat dokumen hibah mereka bagi tujuan perancangan harta hari ini ketika mereka masih hidup.

 

Janganlah terlalu lama membuat pertimbangan sehingga langsung tiada tindakan dibuat.

 

Akhirnya kematian pun datang menjemput. Harta pusaka yang ditinggalkan pula menjadi lambat pengurusannya kerana perbalahan di antara waris atau jika tiada perbalahan pun, proses perundangan akan lambat dilaksanakan kerana ketidakfahaman waris-waris tentang kompleksiti proses itu.

 

Ini akan menambahkan lagi statistik kes harta pusaka tertunggak di Malaysia yang sudahpun mencecah RM90 billion hari ini. Anda mahu harta pusaka anda menyumbang kepada statistik ini?    

 

 

wasiyyah

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews