Masalah harta pusaka semakin lama semakin kronik di Malaysia! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 7 February 2024

MASALAH HARTA PUSAKA SEMAKIN LAMA SEMAKIN KRONIK DI MALAYSIA!

 

 

SEJAK saya terlibat di dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka di Malaysia semenjak 1998, saya sudah melihat banyak perubahan berlaku di depan mata saya.

 

Ada perubahan yang positif di mana undang-undang berkaitan pewarisan harta telah diperkukuhkan atau diwujudkan. Ini membantu pelaksanaan berdasarkan kerangka undang-undang yang lebih tepat.

 

Namun saya perhatikan berlaku juga perubahan yang negatif di dalam industri. Di dalam tempoh sepuluh tahun pertama operasi, jika ada sepuluh kes pusaka yang diuruskan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad, mungkin ada satu sahaja kes di mana waris berbalah kerana pelbagai isu.

 

Namun semenjak sepuluh tahun kebelakangan ini pula, kadar perbalahan di antara waris semakin meningkat. Kini ada tiga atau empat kes yang berlarutan dan sukar diselesaikan kerana ketidaksepakatan atau perbalahan waris-waris.

 

Jika tahun 2004 dahulu, hanya ada beberapa individu sahaja (termasuk diri saya) yang aktif bergerak di dalam masyarakat untuk mendidik ilmu-ilmu berkaitan pewarisan harta Islam, kini sudah ada ratusan malah mungkin juga ribuan individu (termasuk daie-daie Wasiyyah Shoppe Berhad) yang mengambil tanggungjawab itu.

 

Isu pewarisan harta juga banyak dimainkan oleh media massa perdana dan media sosial hari ini berbanding 20 tahun dahulu.

 

anekdot mawarith

 


Dengan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat, pastinya kita menjangkakan bahawa urusan harta pusaka akan dan telah  menjadi semakin mudah dan cepat.

 

Namun andaian itu meleset sepanjang pemerhatian dan pengalaman saya. Hari ini masalah harta pusaka umat Islam sebenarnya telah menjadi semakin kronik dan semakin kucar-kacir walaupun kesedaran semakin meningkat. Kenapa keadaan ini berlaku ? 

 

FAKTOR PALING UTAMA kenapa keadaan ini berlaku ialah kerana keadaan ekonomi semasa negara hari ini.

 

Selepas era pandemik COVID-19, keadaan ekonomi telah menjadi semakin tidak menentu. Ramai orang kehilangan kerja dan pendapatan sedangkan harga barang keperluan seharian semakin meningkat.

 

Masyarakat yang semakin tertekan dengan keadaan ekonomi semasa akan sanggup membuat apa sahaja bagi memperoleh wang dan harta.

 

Memang Hukum Faraid telah menetapkan setiap orang waris berhak mengikut bahagian masing-masing.

 

Namun di situ juga ada asas permuafakatan yang dipanggil sebagai ‘takharruj’. Ia adalah prinsip di mana waris-waris yang berhak secara sukarela menolak bahagian mereka untuk diserahkan kepada waris-waris yang lain atau bersetuju untuk ia dibahagikan secara sama rata di antara waris lelaki dan Perempuan.

 

anekdot mawarith

 


Jika sepuluh tahun pertama operasi Wasiyyah Shoppe Berhad, kami melihat prinsip ‘takharruj’ ini banyak diamalkan, namun kini ia semakin berkurangan.

 

Atas sebab ekonomi yang semakin menekan, kelihatannya tahap kompromi di antara waris-waris apabila mereka berurusan tentang harta pusaka menjadi semakin menipis.

 

Jika di dalam keadaan ekonomi yang baik, waris-waris boleh sahaja bertolak-ansur tentang hak mereka kerana mereka juga mempunyai harta sendiri, namun kini mereka akan berusaha sedaya-upaya mempertahankan hak itu tanpa berganjak walau seinci.

 

Sikap ini telah mencetuskan pelbagai isu dalam kalangan waris-waris sekaligus menyebabkan urusan harta pusaka menjadi semakin rumit dan  sukar diselesaikan.

 

Keadaan menjadi lebih teruk lagi bagi keadaan di mana waris-waris yang berhak itu merupakan waris-waris yang tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan pasangan atau anak-anak simati seperti adik-beradik simati.

 

FAKTOR KEDUA yang  menjadikan keadaan semakin kronik ialah hubungan sesama waris yang semakin jauh.

 

Kita perlu mengakui hakikat bahawa realiti kehidupan hari ini walaupun mungkin kita dilahirkan dan membesar bersama-sama sebagai adik-beradik kandung, hubungan kita akan berubah mengikut masa.

 

Kalau semasa membesar kita akan banyak meluangkan masa bersama-sama, namun apabila sudah dewasa dan sibuk menjalani kehidupan masing-masing, hubungan itu akan semakin jauh, kini kita semakin jarang berjumpa.

 

Ditambah dengan faktor kewujudan pasangan dan anak-anak yang mungkin mempengaruhi pandangan kita.  Faktor ini menjadikan tolak-ansur atau ‘takharruj’ itu sukar dicapai.

anekdot mawarith

 


FAKTOR KETIGA yang turut menjadikan urusan pusaka semakin kronik ialah perbezaan taraf kehidupan di antara waris-waris. Rezeki kita sentiasa berbeza dengan adik-beradik kita.

 

Ada antara adik-beradik kita yang hidupnya mewah namun ada juga yang sentiasa hidup tertekan dengan keadaan ekonomi.

 

Waris yang hidup mewah mungkin merasakan tiada keperluan untuk disegerakan urusan harta pusaka ayah atau ibu kerana harta mereka sendiri lebih banyak berbanding harta pusaka itu yang dianggap hanya sekangkang kera.

 

Malah ada waris yang di dalam keadaan ini langsung  tidak mahu bekerjasama termasuk enggan atau lambat menyerahkan salinan kad pengenalan yang diperlukan sebagai dokumen sokongan permohonan bicara kuasa.

 

Dalam ekstrem yang lain pula, waris-waris yang kaya-raya ini ada juga yang rakus dan cuba mengeksploit harta pusaka untuk kepentingan diri sendiri.

 

Saya melihat sendiri di hadapan mata kepala saya bagaimana perbezaan taraf kehidupan adik-beradik kandung ini menyebabkan urusan harta pusaka itu bermasalah.     

 

 

anekdot mawarith

 

 

Sebagai ‘orang tua’ yang sudahpun mencapai umur 26 tahun keterlibatan di dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka Islam di Malaysia, pandangan saya memang agak berbeza dari orang lain.

 

Orang lain akan katakan bahawa masalah pusaka ini berlaku kerana waris tidak faham hukum faraid, tidak bertindak segera mengurus harta pusaka dan pelbagai faktor-faktor lain.  

 

Saya pula melihat kepada ketiga faktor ini yang lebih makro dan berpengaruh di dalam jangka panjang sebagai penyebab kenapa urusan harta pusaka akan menjadi semakin kronik pada masa hadapan.

 

Jadi apakah pilihan yang kita ada bagi mendepani cabaran ini? Satu-satunya pilihan yang ada ialah dengan kita mengambil pendekatan merancang harta kita melalui instrumen perancangan harta yang ada ditawarkan di Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Dengan penyediaan dokumen-dokumen yang patuh Syariah disertakan pula dengan pengalaman pelaksanaan puluhan tahun yang kami miliki, kita dapat meminimakan risiko (bukan menghapuskan risiko itu sepenuhnya) harta pusaka itu menjadi masalah kepada waris-waris kita pada masa hadapan.

 

Anda sudah bertindak merancang harta anda di Wasiyyah Shoppe Berhad?

 

 

ariffin sabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

dagangnews

  

Portfolio Tags