Usahawan mesti ada moral kompas yang jelas supaya tidak tersesat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 14 Aug 2024 07:00 AM

USAHAWAN MESTI ADA MORAL KOMPAS YANG JELAS SUPAYA TIDAK TERSESAT

 

 

 

MINGGU ini kita akan bercakap tentang dunia keusahawanan. Kenapa? Kerana saya juga banyak ditanyakan soalan seperti ini dan ramai yang mahu mendengar pengalaman saya.

 

Saya bukanlah seorang motivator perniagaan yang boleh bercakap dengan penuh bergaya mahu pun seorang yang boleh  ‘flashy’ menayangkan kemewahan atas sebab kejayaan yang dicapai.

 

Saya hanyalah seorang yang diberikan rezeki oleh Allah SWT untuk membina perniagaan sendiri dan yang saya kongsikan ini hanyalah sedikit pengalaman tersebut.  

 

Saya membina Wasiyyah Shoppe Berhad dengan segala susah senang semenjak 20 tahun yang lepas. Saya pengasas dan kini bertindak sebagai pemegang saham, ahli Lembaga pengarah dan juga Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif.

 

Ada pulak pihak yang kata saya gila pangkat kerana semua jawatan saya nak pegang!

 

 

wasiyyah

 

 

Saya pemegang saham kerana memang saya yang menubuhkan Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Sebagai pemegang saham, saya boleh melantik Lembaga pengarah dan kerana Lembaga pengarah mempunyai ‘fidusiary liability’ yang berat mengikut Akta Syarikat 2016 dan Akta Syarikat Amanah 1949, maka adalah adil kepada ahli Lembaga pengarah yang lain untuk saya juga menjadi ahli Lembaga pengarah supaya liabiliti itu juga mengikat saya.

 

Di samping itu bagi memastikan Wasiyyah Shoppe Berhad beroperasi mengikut tadbir urus korporat terbaik, saya melantik ahli-ahli Lembaga pengarah yang profesional dan berpengalaman.

 

Lembaga Pengarah ini dipengerusikan oleh seorang ahli Lembaga pengarah bukan eksekutif (tidak memegang saham) bagi memastikan neutraliti polisi korporat.  

 

Lembaga Pengarah kemudiannya bermesyuarat dan memutuskan (dicatat di dalam minit mesyuarat) untuk melantik saya sebagai Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif kerana sebagai pengasas syarikat, saya mempunyai pengetahuan mendalam tentang strategi perniagaan, hala tuju dan operasi syarikat serta perkembangan industri perancangan harta secara Syariah di Malaysia.

 

Sebelum disahkan untuk jawatan ini pula, saya perlu melalui temuduga di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Selepas lulus barulah pelantikan saya ini sah.

 

Jadi tidak timbul isu saya gila pangkat ya. Semua proses ini dibuat mengikut peruntukan undang-undang yang betul dan pada merit yang sesuai.

 

Jika saya tidak layak sebagai Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif, pastinya pelantikan saya tidak akan diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.  

 

 

wasiyyah

 

 

Masih jelas di dalam ingatan saya tentang pengorbanan yang tidak kepalang, bergolok-gadai segala yang ada semata-mata untuk membangunkan Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Nawaitu saya menubuhkan organisasi ini semenjak 2004 sehingga hari ini tidak pernah berubah. Saya mahu organisasi ini menjadi penyumbang signifikan kepada penyelesaian isu harta pusaka orang Islam di Malaysia. Saya juga mahu organisasi ini menjadi organisasi yang beritengriti, diyakini dan dipercayai oleh masyarakat.

 

Selepas melalui segala ujian dan dugaan, pada tahap ini saya boleh menarik nafas lega apabila melihat Wasiyyah Shoppe Berhad mulai menempa pelbagai kejayaan.

 

Saya seronok melihat anak-anak muda yang saya latih dan bangunkan bakat mereka selama bertahun-tahun lamanya, kini mulai menjadi pemimpin yang berkesan dan berproduktiviti tinggi.

 

Prestasi kewangan Wasiyyah Shoppe Berhad juga semakin mantap dari tahun ke tahun dan merupakan syarikat amanah persendirian (bukan milik bank) yang mempunyai pendapatan tertinggi di Malaysia dengan keuntungan bersih (profit after tax) yang membanggakan. Pada tahap ini kami sudahpun menetapkan objektif untuk melangkah ke tahap baru yang lebih tinggi, insya-Allah.

 

Ada orang-orang yang cuba mempengaruhi saya dan berkata, “Inilah masanya untuk kau  menikmati semua kerja keras 20 tahun. Inilah masanya untuk enjoy!”

 

Saya perhatikan orang-orang ini jugalah yang banyak terlibat dengan kes poligami di sempadan,  manipulasi dan pelbagai kegiatan lain yang pada neraca moral saya tidak beretika.

 

Mungkin tafsiran ‘enjoy’ kepada mereka ialah berbuat apa sahaja asalkan aku bahagia. Saya hormati pendirian mereka namun saya tidak akan sekali-kali terpengaruh dengan mereka.  

 

 

wasiyyah

 

 

Saya bukanlah ‘budak bandar’ yang dibesarkan dengan segala kemewahan dan ‘conscious’ dengan barangan ‘branded’. Saya tidak dilatih untuk hidup dengan berorientasikan keuntungan dan wang semata-mata. 

 

Selama 20 tahun berniaga saya memegang kuat kompas moral yang diajarkan arwah nenek saya, seorang perempuan tua buta huruf yang hidup serba kekurangan di kampung.

 

Saya berpegang kepada pendirian ‘winning is not everything’ sebaliknya saya tegar berpegang kepada prinsip ‘it’s better to loose with pride and dignity rather than winning unethically’.

 

Alhamdulillah selama 20 tahun ini, Wasiyyah Shoppe Berhad berjaya mencapai pelbagai kejayaan walaupun tidak pernah melanggar kompas moral ini.

 

Saya budak kampung yang dari remaja dididik supaya bersederhana. Sebahagian umur remaja saya dibesarkan oleh arwah nenek di kampung di Segamat Johor.

 

Arwah nenek saya sentiasa mengingatkan saya supaya memegang kompas moral yang jelas. Jangan tipu orang, jangan aniaya orang, jangan manipulasi orang, jangan pijak orang semata-mata kerana kita ingin naik ke atas.

 

Apabila kita ada ‘conscious’ yang tepat, hidup kita akan tenang kerana kita tahu segala apa yang kita lakukan insya-Allah akan diredhai oleh Allah SWT.

 

Dalam banyak keadaan genting, Allah SWT akan memberikan kita jalan keluar kerana Dia Maha Mengetahui bahawa segala apa yang kita lakukan itu nawaitunya adalah kerana mengharapkan keredhaanNya.

 

 

wasiyyah

 

 

Usahawan sangat senang hilang kompas moral ini. Kemewahan hidup, wang berjuta, harta yang banyak sangat mudah untuk mengaburi mata sehingga mereka hilang pedoman hidup.

 

Berpoya-poya, menggunakan kuasa untuk menindas orang lain, rasuah dan salah guna kuasa berleluasa dalam kalangan usahawan seperti ini.

 

Mereka tidak sedar bahawa mereka sebenarnya sedang diuji dengan ‘istidraj’. Mereka lalai dan alpa dengan segala kemewahan.

 

Mereka sentiasa merasakan apa yang dibuat itu betul kerana tiada apa-apa musibah yang melanda. Mereka lupa bahawa semua ini adalah pinjaman semata-mata dan Allah boleh merentap segala-galanya di dalam sekelip mata.

 

Saya suka nak ingatkan kepada rakan-rakan usahawan supaya jangan hilang kompas moral itu.

 

Berniaga itu satu sunnah dan bagus sepertimana yang dianjurkan Islam. Namun janganlah hilang panduan sehingga menghalalkan segala-galanya semata-mata untuk mencapai nafsu serakah yang tiada berpenghujung.

 

Akhirnya kita semua akan mati walau berapa banyak pun harta yang kita miliki di dunia ini.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews