ANIH Berhad mulakan kerja projek pengurusan banjir di Lebuh raya Pantai Timur 1 mulai 1 Oktober 2022 | DagangNews Skip to main content

ANIH Berhad mulakan kerja projek pengurusan banjir di Lebuh raya Pantai Timur 1 mulai 1 Oktober 2022

Pandangan udara Km124 Lebuh raya Pantai Timur Fasa 1. - Gambar ANIH BERHAD
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 27 Sept –  ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) akan memulakan kerja-kerja fasa satu projek pengurusan banjir (flood mitigation) di LPT1 pada 1 Oktober ini.

 

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, syarikat konsesi tersebut telah mengambil beberapa langkah penting bagi memastikan kelancaran projek, termasuklah menjalankan kajian banjir secara terperinci dan komprehensif di sepanjang LPT1 bagi mengenal pasti komponen tebatan banjir yang akan dilaksanakan demi mengurangkan risiko kejadian banjir dari berulang.

 

“ANIH Berhad sebelum ini telah bekerjasama dengan pelbagai agensi-agensi kerajaan di peringkat tempatan, negeri dan persekutuan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan termasuk menilai cabaran semasa bagi melengkapkan cadangan reka bentuk dan proses kerja projek tersebut”, tambah beliau lagi.

 

Antara kajian utama yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) termasuklah semakan dan penilaian data kajian lampau berkaitan isu banjir, termasuk analisis dan penilaian hidrologi, hidraulik serta kajian kesesuaian tanah (Soil Investigation).

 

Keseluruhan projek pengurusan banjir ini dijangka akan mengambil masa selama dua tahun. Projek yang akan melibatkan 11 kawasan kritikal sepanjang Lebuhraya LPT1 ini, adalah sebahagian komitmen berterusan syarikat dan kerajaan bagi mempertingkatkan tahap keselesaan dan keselamatan para pengguna LPT1 terutamanya di musim tengkujuh.


 

Radzimah Mohd Radzi

 

Fasa pertama melibatkan jaringan di KM124 dan dijangka mengambil masa selama 12 bulan. Sehubungan itu, ANIH Berhad akan menutup laluan kecemasan arah ke Kuala Lumpur di lokasi selama enam bulan bermula dari Oktober 2022 sehingga April 2023.

 

Laluan kecemasan KM124 arah ke Kuantan pula akan ditutup bermula dari bulan Mei sehingga November 2023. Selain menutup laluan kecemasan, ANIH Berhad juga akan mengaktifkan laluan kontra di kawasan terbabit bagi memastikan impak lalu lintas berada pada tahap minimum sepanjang tempoh tersebut.

 

Para pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda keselamatan sepanjang projek pengurusan banjir ini dijalankan.

 

Selain itu, para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat lanjut, tepat dan terkini, melalui laman sosial rasmi Lembaga Lebuh raya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT di 1-700-818-700. - DagangNews.com