JPJ Perak raih RM2.36 juta dari bidaan nombor ‘ANU’, harga tertinggi RM269,000 | DagangNews Skip to main content

JPJ Perak raih RM2.36 juta dari bidaan nombor ‘ANU’, harga tertinggi RM269,000

KUALA LUMPUR 2 Jan - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengutip hasil sebanyak RM2.36 juta bagi nombor pendaftaran kenderaan siri 'ANU' sepanjang lima hari bidaan dibuka.

 

Pengarahnya, Mohammad Yusoff Abustan berkata, bidaan dibuka melalui sistem JPJeBID bermula 19 hingga 23 Disember lepas menerusi notis awam yang dikeluarkan.

 

"Lebih 1,768 pembida daripada 1.99 juta pembida berdaftar seluruh negara direkodkan sepanjang tempoh lima hari itu.

 

"Harga bidaan tertinggi ialah RM269,000 untuk 'ANU 1'," katanya pada sidang media selepas Op Ambang Tahun Baharu 2025 di Persiaran Meru Raya 3, di Ipoh seperti laporan Bernama.

 

Beliau berkata, baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada orang awam mengikut harga minimum yang ditetapkan.

 

Jelasnya, setakat ini, nombor plat 'AMG' khusus kepada peminat kereta Mercedes-Benz AMG, masih berada di kedudukan pertama jualan plat JPJ Perak.

 

"Sebelum ini ‘AMG’ mencatatkan jualan keseluruhan lebih RM6 juta dan masih memegang rekod tertinggi nombor popular dibida," katanya. - DagangNews.com