Belanjawan tanpa gula-gula, kata Sin Chew Jit Poh | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 16 October 2023

BELANJAWAN 2024 TANPA GULA-GULA, KATA SIN CHEW JIT POH

 

 

BELANJAWAN kedua Kerajaan Perpaduan tidak membawa kegembiraan, dan tidak juga menimbulkan kesakitan.

 

Aspek yang baik adalah tanpa pengagihan gula-gula yang besar, kawalan perbelanjaan akan lebih teliti. Kelemahannya pula, bajet ini kekurangan pembaharuan dan tiada yang di luar jangkaan.

 

Dalam konteks hutang negara yang tinggi dan hasil kerajaan yang sempit, sudah tentu Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar mahu mengikut kemampuan, mengurangkan perbelanjaan dan menambah pendapatan.

 

Pakar ekonomi dan pakar cukai berpendapat bajet ini memberi fokus kepada pembaharuan struktur jangka panjang dan pengurangan defisit sebagai titik permulaan. Mula meningkatkan cukai ke atas mereka yang berpendapat tinggi untuk meningkatkan pendapatan secara meluas.

 

 

bajet

 

 

Bajet laksana rasionalisasi subsidi

Dalam Bajet 2024, beberapa subsidi dan insentif dikurangkan, skop percukaian juga diperluaskan untuk meningkatkan hasil kerajaan.

 

Sudah tentu pendekatan Anwar amat berhati-hati bagi mengelakkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat. Sebagai contoh, melaksanakan rasionalisasi subsidi bagi menggantikan subsidi menyeluruh.

 

Tetapi Anwar tidak mengambil tindakan ke atas subsidi petrol, yang merupakan beban kerajaan paling berat. Sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan kepada ayam, telur dan bil elektrik.

 

Dari sudut praktikal, subsidi petrol mencecah RM45.1 bilion pada 2022, mencakupi kira-kira 80 peratus daripada jumlah subsidi. Manakala subsidi kerajaan untuk ayam dan telur ialah RM3.8 bilion, pengurangan subsidi elektrik boleh menjimatkan RM4.6 bilion.

 

Dalam hal ini, jelas sekali kerajaan Anwar hanya mengehadkan usahanya dalam merasionalisasi dasar subsidi, mengelak perkara penting dan mengabaikan perkara remeh.

 

Apatah lagi, harga ayam dan telur telah kembali stabil dan berada di bawah harga maksimun yang ditetapkan. Jika tiada lonjakan harga lagi, kerajaan tidak perlu campur tangan.

 

Bagi bil elektrik pula, memandangkan ia hanya menyasarkan 10 peratus penggunaan tertinggi maka impaknya tidak besar. Sebaliknya boleh menggalakkan pengurangan penggunakaan eletrik yang tidak perlu.

 

Satu lagi sebab mengapa subsidi petrol tiada perubahan ialah kerajaan masih belum mewujudkan mekanisme untuk mengenal pasti dan melaksanakan dasar subsidi yang munasabah.

 

Mungkin seperti kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, selepas sistem Pangkala Data Utama (PADU) diwujudkan barulah keputusan dibuat sama ada memberi subsidi atau tidak, berdasarkan status pendapatan dan perbelanjaan keluarga yang berbeza.

 

Rakyat boleh menarik nafas lega kerana kerajaan belum mengambil tindakan ke atas subsidi petrol. Tetapi masih terdapat tekanan berat terhadap perbelanjaan kerajaan. Demi jangka masa panjang dan fiskal yang sihat, kerajaan masih perlu melakukan perubahan terhadap cara pemberian subsidi petrol.

 

Walau apa pun, permulaan dengan telur ayam dan elektrik adalah satu percubaan untuk mengurangkan subsidi. Selagi politik stabil dan tiada ancaman populisme, ini akan menjadi trend di masa hadapan.

 

 

bajet

 

 

Tambah pendapatan menerusi cukai

Selain itu, Anwar juga berharap dapat mengurangkan tekanan kewangan dengan menambah pendapatan. Cukai baharu termasuk Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, meningkatkan cukai ke atas barangan mewah dan mengembangkan cukai perkhidmatan kepada bidang logistik, pengantara, pengunderaitan dan karaoke.

 

Apa yang membimbangkan ialah cukai perkhidmatan dinaikkan daripada 6 peratus sedia ada kepada 8 peratus, tetapi perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi adalah dikecualikan.

 

Kenaikan cukai perkhidmatan akan menyebabkan peningkatan dalam kos perniagaan. Harga barangan akan meningkat yang akhirnya memberi kesan kepada pengguna. Masih belum dapat dilihat sama ada ia akan memburukkan lagi tekanan inflasi atau tidak.

 

Berkenaan dengan kedudukan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), walaupun terdapat sokongan daripada pakar kewangan, kerajaan telah menangguhkannya dan tidak disebut dalam bajet kali ini.

 

Dari satu segi, persekitaran ekonomi semasa tidak sesuai untuk melaksanakannya semula bagi mengelak daripada memburukkan lagi inflasi. Lagipun, kerajaan Anwar tidak bersedia untuk membayar harga politik dan pilihan raya.

 

Perbelanjaan pembangunan dikurangkan

Bajet 2024 ialah belanjawaan terbesar dalam sejarah negara. Ini tidak menghairankan dan mencerminkan keadaan normal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Bagaimanapun, perbelanjaan pentadbiran telah berkembang seperti tahun-tahun sebelumnya. Manakala perbelanjaan untuk pembangunan telah berkurangan. Ini kerana tiada peruntukan khas untuk coronavirus dan tidak perlu membuat peruntukan khidmat hutang 1MDB.

 

Sungguhpun begitu, fenomena perbelanjaan pembangunan jauh lebih rendah berbanding perbelanjaan pentadbiran masih tiada sebarang penambahbaikan. Bajet tidak mengumumkan projek pelaburan berskala besar atau pelan transformasi ekonomi utama, jelas menggambarkan ekonomi Malaysia sukar untuk keluar daripada dilema pembangunan.

 

Apa yang patut diberi pengiktirafan ialah defisit akan menurun daripada paras tertinggi pada 6 peratus pada 2022 kepada 5 peratus pada 2023, dan akan turun kepada 4.3 peratus pada tahun hadapan. Mengikut trend ini, ia boleh dikurangkan kepada sasaran 3.5 peratus pada 2025.

 

Ini bermakna isu sekuriti makanan akan bertambah baik, dan hutang negara juga dijangka terkawal.

 

 

parafrasa

 

 

Bantuan STR diteruskan

Walaupun kerajaan mahu mengurangkan perbelanjaan, penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tetap diteruskan. Dengan jumlah keseluruhan meningkat daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

Tujuan bantuan ini adalah untuk membantu golongan miskin memenuhi keperluan sementara mereka. Namun ia telah diagihkan selama 12 tahun berturut-turut dan menjadi kebiasaan. Selain memupuk kebergantungan, bantuan ini tidak benar-benar membantu menyelesaikan masalah kemiskinan, tetapi menjadi beban yang semakin berat kepada kerajaan.

 

Dalam menghadapi risiko ekonomi global dan kelembapan ekonomi domestik, rangka kerja keseluruhan bajet perlu menjadi penyatuan fiskal yang mampan, bertanggungjawab untuk pertumbuhan ekonomi, menyelesaikan tekanan kos sara hidup, fokus kepada masa depan dan bergerak ke hadapan secara strategik. 

 

Seterusnya, bagaimana kerajaan boleh menguruskan kewangan dengan berkesan dan mengurangkan pembaziran dan rasuah akan menjadi ujian lebih besar. - DagangNews.com

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 13 Oktober 2023, telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.
Portfolio Tags