Konflik Israel-Palestin: Usah jejas negara sendiri kata Sin Chew Jit Poh | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 6 November 2023

Konflik Israel-Palestin: Usah jejas negara sendiri kata Sin Chew Jit Poh

Sin Chew Jit Poh 3-4 Nov 2023

 

 

SEJAK Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga turut menganjurkan perhimpunan solidariti untuk Palestin. 

 

Ramai yang membuat kutipan derma untuk misi bantuan kemanusiaan bagi menyelamatkan rakyat Palestin yang dilanda peperangan.

 

Keperihatinan dan sifat kemanusiaan ini patut dipuji dan dihargai. Walau bagaimanapun, apabila adanya kepercayaan dan pendapat yang berbeza, keadaan ini mengundang kontroversi.

 

 

parafrasa

 

 

Didik generasi muda hargai keamanan

Malaysia sebuah negara yang sangat bertuah kerana kita rakyat generasi baru tidak pernah berdepan dengan pengalaman perang seperti yang dilalui oleh nenek moyang kita semasa Perang Dunia Kedua.

 

Oleh itu, boleh dikatakan pemahaman kebanyakan orang mengenai perang hanyalah melalui filem, rakaman berita dan sebagainya.

 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah bermula 29 Oktober sehingga 3 November. Tujuannya adalah untuk menyahut pendirian kerajaan Malaysia yang terus bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin.

 

Bagaimanapun sebelum kegiatan ini bermula, bendera Palestin sudah kelihatan di sekolah-sekolah, guru dan pelajar memegang senjata palsu membuat lakonan semula situasi yang berlaku di Palestin.

 

Apabila berita ini tersebar, pertubuhan Cina dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mulai rasa bimbang. Ibu bapa bukan Islam mengkritik dan menentang anjuran kegiatan tersebut. Ini membuatkan orang ramai terutamanya ibu bapa lebih bimbang sama ada anak mereka yang belajar di sekolah akan terdedah dengan budaya keganasan.

 

Justeru itu, daripada menganjurkan Minggu Solidariti Palestin, mengapa tidak menggunakan konflik Israel-Palestin mendidik generasi muda termasuk pelajar dengan kaedah yang betul agar benar-benar memahami peperangan dan kekejamannya terhadap rakyat yang tidak bersalah.

 

Dalam masa yang sama, kita juga dapat mendidik rakyat supaya belajar menghargai keamanan negara dan menanam semangat patriotik.

 

 

parafrasa

 

 

Rasional dari sudut kemanusiaan

Melihat dari sudut kemanusiaan, kerajaan boleh menyokong pelarian Palestin dengan sumbangan atau mengumpul dana daripada rakyat. Tetapi sasaran penerima bantuan mestilah pelarian yang dilanda perang, bukannya kumpulan bersenjata.

 

Begitu juga, kita boleh dan mesti mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pembunuhan beramai-ramai pelarian oleh tentera Israel. Namun pada masa sama, kita juga perlu memahami bahawa rakyat Israel juga tidak bersalah, terutamanya mereka yang dijadikan tebusan.

 

Pada masa yang sama, senarai boikot diedar dalam laman media sosial. Antara yang dinamakan adalah McDonald, KFC, Starbucks, Burger King, Domino dan syarikat-syarikat lain dengan latar belakang dibiayai oleh Amerika Syarikat (AS).

 

Netizen juga memainkan peranan mula memuat naik gambar dan video restoran makanan segera yang lengang tanpa pengunjung. Malah pekerja-pekerja yang tidak bersalah diejek, sehinggakan pengurasan McDonald terpaksa mengadakan sidang media untuk memberi keadilan kepada perkerja mereka yang terjejas.

 

Mengapa Israel dan Palestin berperang? Kita semua mempunyai pemahaman dan tafsiran dari pelbagai platform dan sudut yang berbeza. Ramai orang sebenarnya sama-sama berkongsi kebimbangan tentang penglibatan berlebihan Malaysia dalam konflik tersebut.

 

Boikot syarikat-syarikat yang dibiayai AS, guru dan pelajar membuat demonstrasi peperangan, membakar bendera dan sebagainya, tidak akan membantu meredakan konflik Israel-Palestin, malah tidak memberi kesan kepada orang Yahudi yang sangat dibenci.

 

 

parafrasa

 

 

Jejas hubungan luar dan masyarakat berpecah-belah

PM telah mengingatkan rakyat supaya tidak mempolitikkan konflik Israel-Palestin sehingga memecahbelahkan masyarakat Malaysia. Beliau juga menggesa semua pihak tidak mengeksploitasi keadaan di Palestin untuk kepentingan politik.

 

Amat menyedihkan kerana Malaysia telah menerima tiga nota diplomatik daripada kedutaan AS kerana keengganan menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas.

Sebenarnya kerajaan kita telah lama mengekalkan hubungan mesra dengan pihak berkuasa Palestin dan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, jadi tidak timbul isu berpihak kepada siapa.

 

Kita tidak menyokong sebarang tindakan keganasan, tetapi tidak juga menganggap bahawa Hamas adalah kumpulan pengganas. Apatah lagi selepas 2007, Palestin terbahagi kepada dua rejim iaitu pejuang Hamas menawal Semenanjung Gaza manakala Tebing barat dikawal oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

 

PLO pada 15 Oktober membuat kenyataan bahawa Hamas tidak mewakili rakyat Palestin dan hanya PLO adalah satu-satunya wakil yang sah. PLO juga mengkritik Hamas dan Israel membunuh orang awam dan menggesa kedua-dua pihak segera membebaskan tebusan.

 

Melihat kepada situasi Palestin sendiri berpecah belah, kita sebagai orang luar boleh menyokong keadilan dan menentang keganasan. Tetapi kita tidak perlu terlalu agresif mengadakan Minggu Solidariti Palestin, membenarkan pelajar-pelajar berpakaian seperti pejuang memegang senjata palsu.

 

Kementerian Pendidikan terpaksa mengarahkan sekolah melarang paparan senjata tiruan, elak membuat kenyataan melampau, tidak menyalahkan individu mahupun agama serta tidak memutar belit fakta.

 

Pendirian PM berhubung isu ini adalah sangat jelas, rakyat berbilang kaum di negara ini harus melihat konflik Israel-Palestin sebagai ‘isu sejarah dan kemanusiaan bagi rakyat Palestin yang ingin bebas dari penjajahan Israel’.

 

 

parafrasa

 

 

Usah jejas negara sendiri

Memandangkan PM akan berhubung dengan negara lain bagi memahami pendirian pemimpin Asia menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Anwar akan membuat keputusan sama ada untuk menyertainya atau tidak.

 

Seperti yang kita tahu, APEC mempunyai ciri keterbukaan dan selama bertahun-tahun komited dalam mempromosikan ‘sistem perdagangan pelbagai hala’. Tema kali ini pula adalah 'Creating a Resilient and Sustainable Future for All'.

 

Jadi mesyuarat pemimpin APEC adalah bertemakan kerjasama ekonomi dan tidak ada kena mengena dengan konflik Israel-Palestin. PM perlu menghadiri pertemuan dengan lebih ramai pemimpin negara, kerana ekonomi Malaysia kini dalam peringkat pemulihan dan perlu lebih banyak pelaburan asing.

 

Jika kita terlalu berminat dengan pertikaian antarabangsa dan memboikot APEC, kita akan lebih rugi daripada untung. - DagangNews.com

 
Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 3-4 Nov 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

 

 

parafrasa

 

Portfolio Tags