Krisis makanan bukan masalah jangka pendek - Nanyang Siang Pao | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 25 September 2023

KRISIS MAKANAN BUKAN MASALAH JANGKA PENDEK

Nanyang Siang Pao 22-24 September 2023

 

 

 

SELEPAS harga borong beras import melonjak naik 36% mencecah RM3,200 pada September, telah mencetuskan pembelian panik.

 

Walaupun Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkali-kali menyatakan bahawa kenaikan harga adalah beras import dan tiada isu kekurangan bekalan beras putih tempatan serta memberi jaminan harga tidak akan meningkat sewenang-wenangnya.

 

Bagaimanapun, rakyat tidak mempercayai jaminan kerajaan itu. Masalah ini memberi kesan kepada kehidupan setiap orang kerana beras merupakan salah satu makanan ruji yang amat diperlukan oleh masyarakat kita.

 

Situasi ini sedikit sebanyak seperti isu kekurangan telur dan ayam sebelum ini. Mungkin rakyat sudah mendapat pengajaran daripada pengalaman sebelum ini. 


 

sabu
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu

 


Pengajaran kekurangan bekalan telur

Selepas Pakatan Harapan (PH) berkuasa, beberapa janji sebelum ini dianggap remeh dan melenting apabila dipersoalkan. ‘Makanan adalah keutamaan rakyat’, adakah menteri benar-benar tahu apa yang paling merisaukan rakyat?

 

Dalam isu telur, kerajaan pada mulanya yakin memberi jaminan tidak akan berlaku kekurangan bekalan. Tetapi akhirnya mengambil keputusan mengimport telur sehingga membangkitkan rungutan pasaran.

 

Ini kerana telur import sama ada dari segi saiz, harga atau kesegarannya tidak dapat bersaing dengan tempatan.

 

Hari ini, bekalan telur telah kembali stabil dan menteri juga mengumumkan tiada keperluan untuk mengimport telur dari India atau Thailand.

 

Tetapi timbul pula isu beras. Jika dikatakan bahawa harga beras import yang naik harga, mengapa sana sini rakyat merungut tidak dapat membeli beras putih tempatan?

 

Menteri berulang kali menafikan bahawa ia adalah berita palsu dan aduan palsu. Sehingga membuatkan bos Mydin sendiri tampil bersuara: ‘menteri, adakah anda fikir begitu? Datang dan lihat sendiri!’


 

parafrasa

 


Kekurangan makanan adalah masalah global

Meskipun Menteri KPKM berkata negara kini mempunyai stok beras sebanyak 900,000 tan metrik dan cukup untuk menampung permintaan domestik selama 4 hingga 5 bulan,namun masalah tidak akan berakhir di situ. Pertamanya, mari kita lihat sebab-sebab kenaikan harga beras.

 

Baru-baru ini, harga padi meningkat pada RM1,750 setiap 100kg daripada RM1,350 sebelum ini. Kenaikan harga ini disebabkan oleh pasaran beras global yang menghadapi beberapa siri masalah, termasuk perubahan iklim, pengurangan hasil tuaian, masalah kesesakan dan logistik dalam rantaian bekalan dan kegawatan ekonomi global.

 

Bukan itu sahaja, KPKM baru-baru ini juga telah mengehadkan simpanan beras individua tau komersial kepada maksimum 100 kilogram.

 

Orang ramai juga ada mendengar bahawa bekalan peniagaan besar juga telah dikurangkan daripada 1,000 beg kepada 100 beg sehari. Sudah tentu perkara ini menimbulkan pembelian panik.

 

Menteri kemudian mengumumkan bahawa 20 peratus beras daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan dituai dalam masa terdekat. Dijangka masalah kekurangan beras tempatan dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan akan datang.

 

Kenyataan menteri ini jelas menunjukkan bahawa beras putih tempatan sememangnya menghadapi masalah kekurangan bekalan dan rungutan pasaran bukan sesuatu yang mengarut.

 

Harga naik kerana bekalan tidak stabil

Ketidakstabilan dalam bekalan beras global yang membawa kepada kenaikan dan harga. Malaysia sebagai pengimport bersih, sudah tentu akan terjejas dengan trend antarabangsa.


 

parafrasa

 


Bagaimanapun, kekurangan beras putih tempatan bukan hanya disebabkan oleh kenaikan harga beras antarabangsa. Walaupun kerajaan mendakwa stok beras putih mencukupi, masih terdapat ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan di pasaran.

 

Beberapa pengusaha beras dan bijiran menegaskan bahawa kos pengeluaran beras putih telah meningkat dengan ketara. Ini termasuklah gaji minimum RM1,500; bil utiliti meningkat, bayaran pembungkusan dan yuran logistik.

 

Bagaimanapun, kerajaan tetap mengekalkan harga terkawal yang ditetapkan lebih 10 tahun lalu, yang tidak mampu untuk menampung keperluan pengeluar.

 

Akibatnya, banyak pengeluar beras menghadapi kerugian. Dalam keadaan ini, tidak siapa mahu membuat transaksi yang merugikan.

 

Perlu penyelesaian segera

Menyelesaikan masalah kekurangan beras bukanlah tugas yang mudah bagi kerajaan, tetapi terdapat beberapa penyelesaian yang jelas boleh dipertimbangkan.

 

Pertamanya, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk melaraskan harga beras putih tempatan bagi mencerminkan peningkatan kos pengeluaran. Ini akan membantu mengekalkan keuntungan pengeluar dan peniaga beras, bagi menggalakkan mereka terus menanam padi dan terus menjual beras putih tempatan.

 

Keduanya bagi membantu pengeluar mengatasi kesulitan, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menyediakan subsidi langsung atau program sokongan. Ini boleh termasuk mengurangkan kos pengeluaran menyediakan peralatan pertanian atau menyediakan latihan.

 

Selain itu, kerajaan harus menyemak dan menambah baik dasar pertanian untuk memastikan mereka boleh bertindak balas terhadap perubahan dalam pasaran.

 

Ini termasuk teknik pertanian yang lebih baik dan kaedah penanaman untuk meningkatkan hasil dan kecekapan serta mengurangkan kos.

 

Kerajaan harus mendidik orang ramai dan meyakinkan mereka untuk tidak terburu-buru membeli beras putih di pasaran. Bimbang pembelian panik akan memburukkan lagi krisis kekurangan beras.


 

parafrasa

 


Lonjakan harga beras import dan kekurangan beras putih tempatan merupakan cabaran kompleks yang memerlukan usaha bersama kerajaan, petani dan pengguna. Hanya melalui kerjasama dan dasar pintar sahaja, kita dapat memastikan krisis kekurangan beras tidak bertambah buruk.

 

Kita akan tunggu dan lihat sama ada masalah beras dapat diselesaikan dengan baik dan sempurna dalam masa sebulan. Krisis kekurangan makanan akan menjadi masalah yang perlu dihadapi dunia dalam beberapa tahun akan datang atau lebih lama lagi pada masa hadapan.

 

Disebabkan oleh perubahan iklim, bencana alam yang kerap dan kegagalan tanaman telah membunyikan penggera seluruh negara.

 

Dalam keadaan semua negara bersiap sedia untuk melindungi negara masing-masing, negara yang terlalu bergantung kepada import makanan sudah pasti akan menghadapi kesan harga yang melambung tinggi.

 

Selepas bekalan telur dan beras hilang keseimbangan, pasti ada yang lain akan menyusul nanti. Oleh itu, kementerian mesti mengambil iktibar bersedia pada bila-bila masa dan lebih awal untuk menghadapi sebarang perubahan mendadak. – DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao 22-24 September 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

dagangnews

 

Portfolio Tags