Pelaksanaan semula GST satu keperluan, kata Nanyang Siang Pao | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 18 September 2023

PELAKSANAAN SEMULA GST SATU KEPERLUAN, kata NANYANG SIANG PAO

Nanyang Siang Pao 14 - 16 September 2023

 

 

KERAJAAN tidak menolak untuk melaksanakan semua Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi meningkatkan hasil negara, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli baru-baru ini.

 

Cadangan Rafizi Ramli telah menarik banyak perhatian dan juga mencetuskan perbincangan dan kontroversi yang meluas.

 

Ramai ahli politik termasuk Khairy Jamaluddin dan Presiden MCA, Wee Ka Siong sebulat suara menyatakan bahawa adalah perlu bagi kerajaan untuk menghadapi situasi di mana perbendaharaan negara tidak dapat menampung keperluan, jadi GST adalah jalan penyelesaian.

 

GST diperkenalkan pada April 2015 oleh mantan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak. Pada masa itu, kadar cukai 6 peratus menyebabkan kenaikan harga barangan secara mendadak.

 

Namun, cukai ini telah dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).


 

gst

 


Belajar daripada pengalaman

Inisiatif untuk melaksanakan semual GST telah sekali lagi membangkitkan perbincangan hangat. Bagi yang menyokong percaya bahawa cukai ini boleh meningkatkan hasil negara dan kerajaan boleh mempromosikan lebih banyak projek pembangunan negara dan meningkatkan kekuatan keseluruhan negara dan taraf hidup rakyat.

 

Bagaimanapun ramai yang bimbang pelaksanaannya akan membawa kepada satu lagi pusingan inflasi, menyebabkan kenaikan harga semua dan menambah beban rakyat.

 

Secara objektifnya, GST adalah sistem cukai yang dianggap lebih telus daripada SST kerana terkumpul langkah demi langkah dalam proses pengeluaran dan jualan barangan dan perkhidmatan, menjadikan cukai ini lebih mudah untuk dijejaki.

 

Selain itu, GST biasanya muncul dalam harga barangan atau perkhidmatan. Jadi ia membolehkan pengguna mengetahui terlabih dahulu cukai yang perlu dibayar semasa membeli- belah.

 

GST telah meninggalkan kesan mendalam dalam sejarah politik negara kita. Justeru itu, pelaksanaan semula cukai ini perlu pertimbangan yang teliti dan disertakan dengan beberapa siri langkah agar kesilapan masa lalu tidak berulang.

 

Tidak dapat lari daripada cukai

Selain itu, GST boleh menghalang pengelak cukai dengan berkesan kerana ia biasanya meliputi keseluruhan rantaian bekalan. Daripada pengilang kepada peruncit dan setiap pautan tertakluk kepada cukai.

 

Ini amat menarik dalam sistem cukai semasa kerana pengelakan cukai sentiasa menjadi satu cabaran yang serius dalam negara kita.

 

Walau bagaimanapun, GST mempunyai kebaikan dan keburukan. Kerajaan mesti membuat pertimbangan dengan teliti kebaikan dan keburukannya sebelum memperkenalkan semula mekanisme ini.


 

parafrasa

 


Pelaksanaan sistem yang cekap

Ramai peniaga yang masih ingat isu bayaran balik cukai yang timbul apabila ia diperkenalkan pada 2015. Kelewatan dalam pembayaran balik cukai telah menyebabkan perniagaan menghadapi kekurangan kecairan tunai yang teruk. Malah sesetengah perniagaan dengan perolehan yang lemah terpaksa menutup pintu perniagaan.

 

Bagitu juga, kerajaan juga perlu mengurangkan karenah birokrasi dalam proses pembayaran balik cukai. Pada 2020, Ketua Pengarah Jabatan Kastam ketika itu, Abdul Latif berkata, disebabkan ketidakupayaan menyediakan dokumen yang diperlukan dan maklumat bank yang tidak lengkap, 48,225 permohonan bayaran balik cukai syarikat telah ditangguhkan, melibatkan jumlah keseluruhan RM1.316 bilion.

 

Oleh itu, adalah perlu bagi kerajaan untuk mewujudkan sistem permohonan bayaran balik cukai dalam talian yang stabil, melaksanakan semakan automatik, mengurangkan pemprosesan manual, dan meningkatkan kecekapan pembayaran balik cukai.

 

Kerajaan juga harus berusaha untuk memudahkan proses permohonan bayaran balik cukai, mengurangkan jumlah dokumen yang diperlukan, menerima dokumen elektronik dan salinan imbasan di mana sesuai, dan mengelak daripada menjadikannya terlalu membebankan peniaga.

 

Ini akan membantu meningkatkan ketelusan dan pengendalian kutipan cukai serta mengurangkan peluang untuk menyalahgunaan dan penyelewengan.

 

Kadar cukai 2 hingga 4 peratus

Kita juga perlu melihat keadaan ekonomi semasa negara, sama ada sesuai untuk melaksanakan semula GST atau sebaliknya. Menurut data, cukai langsung menyumbang kira-kira 56 peratus daripada hasil fiskal negara manakala cukai tidak langsung menyumbang kira-kira 12 peratus.

 

Kadar cukai permulaan tidak boleh terlalu tinggi bagi memberi masa kepada perniagaan dan pengguna untuk menyesuaikan diri dengan sistem cukai baharu. Di samping mengurangkan risiko inflasi dan kesan ke atas ekonomi keseluruhan.

 

Pakar umumnya percaya bahawa kadar GST 2 hingga 4 peratus adalah tahap yang boleh diterima.

 

Selain itu, kerajaan boleh menyenaraikan barangan kadar sifar untuk mengurangkan kesan GST kepada rakyat terutamanya berpendapatan rendah.

 

Kadar sifar biasanya digunakan untuk barangan asas seperti makanan asas dan perasa (roti, nasi, telur, minyak masak, kicap, garam), ubat-ubatan, perkhidmatan perubatan, buku teks, keperluan wanita dan kanak-kanak sebagainya.


 

parafrasa

 


Teliti kebaikan dan keburukan

Pertama sekali, kita perlu menyemak semula pengajaran yang dialami negara semasa melaksanakan GST pada tahun 2015. Pada masa itu, pelaksanaanya membawa kepada peningatan inflasi dan mencetuskan rasa tidak puas hati dan kemarahan orang ramai.

 

Ini adalah salah satu punca kerajaan Barisan Nasional (BN) runtuh. Jadi Kerajaan Perpaduan mesti mengambil iktibar daripada perkara ini dan memastikan inflasi dapat dikawal dengan berkesan apabila GST dilaksanakan semula.

 

Berhubung isu inflasi, kerajaan perlu mengambil beberapa siri langkah bagi memastikan pelaksanaan semula GST tidak akan membebankan rakyat.

 

Ini termasuklah memantau perubahan harga bagi barangan dan perkhidmatan serta menghalang peniaga daripada menyalahgunakan peluang untuk menaikkan harga.

 

Perlu strategi komprehensif

Oleh kerana hasil pendapatan minyak merosot dari tahun ke tahun, hasil fiskal negara juga menyusut dan menimbulkan cabaran besar kepada keadaan kewangan negara kita.

 

Dalam hal ini, mempertimbangkan semua GST merupakan pilihan yang patut diterokai untuk membantu kerajaan mempelbagaikan sumber hasil fiskalnya. Bagaimanapun kerajaan perlu berhati-hati bagi memastikan tiada kesan buruk kepada ekonomi apabila pelaksanaanya kelak.


 

parafrasa

 


Ini memerlukan strategi yang komprehensif, termasuk kerjasama rapat dengan peniaga dan pengguna untuk memastikan kestabilan ekonomi dan pertumbuhan yang mampan selepas GST.

 

Hanya selepas pertimbangan menyeluruh tentang kebaikan dan keburukan serta konsensus sosial yang luas, kerajaan boleh membuat keputusan yang bijak untuk memperkenalkan GST ke dalam negara kita sebagai mekanisme cukai yang berkesan. – DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao 14 - 16 Sep, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

dagangnews

 

Portfolio Tags