ARB jangka mampu jana RM100 juta setiap tahun menerusi pelancaran ARB Cloud Cosec | DagangNews Skip to main content

ARB jangka mampu jana RM100 juta setiap tahun menerusi pelancaran ARB Cloud Cosec

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Penyedia platform dan perisian teknologi maklumat (IT), ARB Berhad dijangka menjana RM100 juta setiap tahun menerusi pelancaran platform perkhidmatan hasil awan, ARB Cloud Cosec.

 

Dalam masa terdekat ini, kumpulan menyasarkan untuk menawarkan perkhidmatan tersebut kepada 10% daripada pasaran syarikat tersenarai awam (PLC) dan 20% lagi daripada pasaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Menurut Pengarah Eksekutif ARB, Datuk Seri Larry Liew Kok Leong, ARB Cosec adalah platform setiausaha syarikat awan yang dikembangkan sendiri, dibantu oleh pasukan teknikal kumpulan dengan tujuan menyediakan penyelesaian mesra pengguna kepada syarikat yang disasarkan di Malaysia.

 

“Kami yakin produk berasaskan awan ini akan menjana pendapatan lumayan buat kumpulan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Larry Liew Kok Leong
Larry Liew Kok Leong

 

“Pandemik COVID-19 telah mencetuskan penggunaan inisiatif digital yang pesat dalam kalangan perniagaan memandangkan kerajaan di seluruh dunia menguatkuasakan pelbagai bentuk sekatan bagi membendung jangkitan COVID-19.

 

“Ini telah mendorong peralihan kepada pekerjaan mudah alih dan transformasi digital yang pantas dalam landskap perniagaan. Transformasi digital menjana peluang hasil baharu dan kecekapan kos, di samping mendatangkan kelestarian dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Tambah beliau, terdapat jurang besar dalam perkhidmatan setiausaha syarikat dari segi pendigitalan memandangkan kebanyakan perniagaan masih meneruskan kaedah tradisional, di mana melibatkan banyak kerja manual.

 

Bagaimanapun, katanya, situasi itu telah berubah semasa pandemik ini dan industri berkenaan masih belum diteroka sepenuhnya kerana tidak banyak penyelesaian awan yang ada, dalam memenuhi keperluan perkhidmatan tersebut.

 

Melangkah ke hadapan, ARB yakin kumpulan dalam kedudukan baik untuk mengembangkan perniagaannya di peringkat serantau, terutamanya dengan permintaan yang kukuh dan jangkaan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pada kadar 12.4% bagi perbelanjaan global untuk pengurusan hubungan dan pengalaman pengguna (CRM) awan. - DagangNews.com