10 bot RHAB bernilai RM32.8 juta jadi aset baharu Polis Marin tingkatkan operasi cegah jenayah di laut | DagangNews Skip to main content

10 bot RHAB bernilai RM32.8 juta jadi aset baharu Polis Marin tingkatkan operasi cegah jenayah di laut

Bot RHAB yang menjadi aset terbaharu Polis Marin.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 15 Mac - Keupayaan Pasukan Polis Marin (PPM) untuk melaksanakan tugas rondaan dan cegah jenayah di perairan bertambah apabila menerima 10 buah bot peronda baharu.

 

Pembelian bot jenis Rigid Hull Assault Boat (RHAB) Full Cabin bernilai RM32.8 juta ini menggunakan peruntukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

 

Bot-bot berkenaan dibekalkan oleh syarikat tempatan, Dalac Marine Engineering and Services Sdn. Bhd. (Dalac Marine) yang diberi kepercayaan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyiapkan pembelian tersebut.

 

Kesemuanya berjaya disiapkan dalam masa 22 bulan mengikut sepertimana kontrak yang ditetapkan.

 

Bot

 

Bot
Razarudin diberi penerangan tentang keupayaan bot RHAB.

 

KDN sebelum ini merancang melengkapkan PPM dengan bot peronda yang lebih baik menerusi Projek Perolehan Bot Police Strike Craft.

 

Justeru, perolehan ini menambah jumlah bot-bot peronda sedia ada yang digunakan PPM.

 

Antaranya ialah dua buah bot pemintas laju jenis FIC G2000 juga buatan syarikat tempatan yang dimiliki PPM pada tahun 2019.

 

RHAB Full Cabin merupakan bot operasi yang memiliki kelajuan antara 45 knot hingga 55 knot.

 

Dengan kelajuan tersebut ia mampu menggerunkan penjenayah selain kebolehan bot RHAB untuk memintas bot-bot yang mencurigakan semasa rondaan.

 

Bot
Mesingan 7.62mm yang dipasang pada bahagian hadapan bot.

 

Penambahan aset baharu itu melengkapkan lagi keupayaan PPM dalam memperkasakan tugas rondaan dan cegah jenayah di perairan negara.

 

Ini termasuklah operasi bagi mengekang pencerobohan di sempadan.

 

PPM memikul tanggungjawab mengawasi perairan seluas 159,167 kilometer persegi meliputi Semenanjung serta Sabah dan Sarawak dengan jarak sehingga 12 batu nautika dari pantai.

 

Sebab itu penting bagi PPM mempunyai aset yang lebih efektif dan efisien dalam membantu pasukan melibatkan penugasan di kawasan perairan.

 

Bot
Razarudin (tengah) semasa menyaksikan majlis menandatangani penyerahan rasmi bot antara Pengarah Urusan Dalac Marine, Md. Shakri (kanan) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Dr. Abdul Gapar Abu Bakar.

 

 

Bot

 

Bot RHAB yang memuatkan lapan anggota ini turut dilengkapi dengan selaras mesingan kaliber 7.62 milimeter yang dipasang pada bahagian hadapan.

 

Terdahulu, majlis penyerahan rasmi bot telah dilakukan oleh pihak Dalac Marine dan KDN di Grand Ballroom Hotel Berjaya Waterfront, Johor Bahru, Johor yang disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

 

Selesai sesi menandatangani dokumen penyerahan, Razarudin turut meninjau dan melihat sendiri keupayaan aset baharu tersebut yang diterima ke dalam inventori PPM.

 

Pada majlis itu 4 buah bot diserahkan kepada PPM manakala 6 buah lagi telah pun digunakan pada November lalu. - DagangNews.com