10 sekolah terpilih di Melaka sertai projek perintis Transformasi Pendidikan STEM | DagangNews Skip to main content

10 sekolah terpilih di Melaka sertai projek perintis Transformasi Pendidikan STEM

Datuk Agil Faisal dan Timbalan Dekan Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi ( FTMK ) UTEM Dr Ts Rizuan Baharon bersama guru dan pelajar yang menyertai  taklimat pelancaran projek perintis Transformasi Pendidikan STEM di Melaka pada 20 April 2024.
Oleh Mohamad Iman

MELAKA 22 April - Lebih 300 peserta, termasuk ibu bapa, guru-guru dan kanak-kanak sekolah, serta pihak berkepentingan, berkumpul di Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi (FTMK) UTeM untuk taklimat pelancaran projek perintis Transformasi Pendidikan STEM di Melaka, baru-baru ini.

 

Program ini adalah kerjasama diantara ISpace Digital Academy Malaysia, Universiti Teknikal Melaka (UTeM), dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM) serta badan korporat terpilih.

 

Pengerusi ISPACE Digital Academy, Datuk Agil Faisal berkata, program tersebut bertujuan membentuk generasi baru menjadi peneraju, agen penyelesaian masalah, dan pemimpin melalui pembelajaran didalam bidang STEM.

 

Dimulakan dengan 200 minda muda cerdas berusia 8 hingga 11 tahun, projek ini berusaha untuk membudayakan kemahiran penting seperti pemikiran kritis, komunikasi, kerjasama, kreativiti, dan penyelesaian masalah.

 

"Melalui gabungan dinamik literasi, numerasi, dan teknologi terkini, kami bertujuan untuk membentuk masa depan pendidikan," kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

 

ispace
Datuk Agil Faisal (tengah) dan Timbalan Dekan Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi ( FTMK ) UTEM Dr Ts Rizuan Baharon pada majlis taklimat pelancaran projek perintis Transformasi Pendidikan STEM di Melaka pada 20 April 2024.

 

 

Senarai Sekolah Terpilih

- SK Tun Syed Ahmad Shahabuddin

- SK Taman Merdeka

- SK Jalan Datuk Palembang

- SK Batu Berendam

- SK Batu Berendam 2

- SK Bukit Beruang

- SK Demang Hussin

- SK Merlimau 2

- SK Rumbia

- SK Parit Melana

 

Agil berkata, tujuan utama taklimat ini adalah untuk melengkapi pelajar dan ibu bapa dengan pemahaman menyeluruh tentang program ini dan peranan mereka dalam kejayaannya.

 

"Objektif utama inisiatif ini adalah untuk menanamkan kepentingan STEM dari usia muda dengan membudayakan kerja berpasukan, kerjasama, pembelajaran yang menyeronokkan, dan ejen penyelesaian masalah, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB (SDGs), khususnya SDG 17.

 

"Program pilot STEM, yang ditaja oleh ISpace Digital Academy Malaysia, Universiti Teknikal Melaka (UTeM), dan beberapa badan korporat terpilih, memberikan peluang kepada generasi muda untuk membuka potensi mereka dan membuka jalan bagi masa depan yang lebih cerah," kata beliau.

 

Dengan kurikulum yang menarik, kit kreatif, dan pembelajaran yang menyeronokkan, kami berharap dapat menginspirasi generasi seterusnya pemimpin dan penyelesaian masalah STEM.

 

Kohort pertama 200 pelajar berusia antara 8 tahun dan 11 tahun ini akan bermula pada Mei 2024, dengan setiap modul memerlukan masa 3.5 bulan untuk disiapkan.

 

Penilaian oleh badan pensijilan STEM antarabangsa, diikuti dengan kem latihan di UTeM, akan diatur setelah penyelesaian setiap modul. - DagangNews.com