10 syarikat minyak Sarawak tubuh konsortium | DagangNews Skip to main content

10 syarikat minyak Sarawak tubuh konsortium

Rahman Lariwoo (duduk tengah) bercakap kepada pemberita pada majlis pengumuman penubuhan Specon di Kuching, baru-baru ini. - Gambar DayakDaily

 

KUCHING 12 April – Sebuah konsortium dianggotai 10 syarikat minyak dan gas Sarawak ditubuhkan bagi memperjuangkan nasib kontraktor negeri itu untuk meraih bahagian lebih besar di dalam projek minyak dan gas di perairan Sarawak.

 

Dinamakan Sarawak Petroleum Contractors’ Association Consortium Sdn Bhd (Specon) akan berperanan sebagai platform untuk mendapatkan lebih banyak peluang projek minyak dan gas daripada syarikat besar terutama Petronas dan Shell.

 

Pengerusi eksekutifnya, Datuk Rahman Lariwoo berkata, pihaknya berharap kerajaan Sarawak menerusi Petros, boleh bekerjasama dengan Specon bagi memberikan lebih banyak peluang seumpamanya kepada kontraktor anak negeri.

 

Sepuluh syarikat yang membentuj Specon itu ialah Dumas Holding Sdn Bhd, Konsortium Bumi Consultants & Services, Astaka Consulting Engineers Sdn Bhd, Petro Parts Sdn Bhd, Precise JV Resources Sdn Bhd, EPC Synergy Sdn Bhd, Pelangi Indah Engineering Sdn Bhd, Fastart Sdn Bhd, BMech Construction Sdn Bhd dan Worldbay Diversified Sdn Bhd.

 

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Specon, Jamel Ibrahim berkata, kontraktor Sarawak telah lama dipinggirkan daripada projek besar minyak dan gas di negeri itu.

 

“Tibalah masanya untuk menghimpun semua kontraktor daripada pelbagai bidang yang aktif di dalam industri minyak di bawah satu bumbung, memandangkan banyak projek besar dijangka dilaksanakan di perairan negeri ini tidak lama lagi.

 

“Kita cukup maklum bahawa beberapa tahun ini, perairan Sarawak akan menjadi tempat untuk semua aktiviti penerokaan dan cari gali dilaksanakan, malah sudah pun dimulakan. Jadi kami ingin turut sama di dalamnya,” katanya.

 

Dalam konteks itu,  Jamel berkata Specon menjalin persefahaman dengan tiga rakan kongsi dari Korea Selatan iaitu KHPT Co., Ltd, PMC Co., Ltd and Pacific Ocean Marine Industries Co., Ltd yang memiliki pengalaman besar di dalam industri minyak dan gas.

 

Menurutnya, rakan kongsi dari Korea itu bersedia membawa masuk teknologi mereka termasuk aset dan dana bagi menyokong Specon sehingga konsortium itu cukup matang untuk memberi perkakasan mesin mereka sendiri.

 

“Ada dalam kalangan kami (Specon) adalah syarikat yang kecil, jadi kami memerlukan aset dan pembiayaan. Di dalam mana-mana projek minyak dan gas, kita memerlukan dana yang besar untuk menjalankan operasi. Untuk membeli kapal pun kita perlukan berjuta-juta ringgit.

 

“Oleh itu, kami memerlukan sokongan buat masa ini sehingga kami memiliki keupayaan untuk membeli aset kami sendiri,” katanya kepada pemberita Jumaat lalu.

 

Pada majlis itu, Specon memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan tiga rakan kongsi Korea secara maya. – DagangNews.com