10,000 pengunjung dijangka hadir ke Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia negeri Perlis | DagangNews Skip to main content

10,000 pengunjung dijangka hadir ke Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia negeri Perlis

KANGAR 22 Mac - Seramai 10,000 pengujung dijangka hadir ke Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) peringkat negeri Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar bermula 25 hingga 27 Mac ini.

 

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Perlis, Dr. Faizal Kamarudin berkata, sasaran yang diletakkan kerajaan negeri adalah realistik, berdasarkan sambutan luar biasa yang diterima pada AKM Johor yang berlangsung pada 3 hingga 5 Mac.

 

Beliau berkata, pelbagai aktiviti dan program menarik dan bermanfaat kepada rakyat telah disusun, antaranya ialah pengisian menyambut Ramadan yang dianjurkan oleh pihak Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), melibatkan forum pada sebelah malam.

 

“Semua persiapan berjalan lancar termasuk kerja-kerja memasang kemah telah dilakukan di venue karnival,” katanya kepada Bernama, hari ini.

 

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan turun padang untuk merasmikan karnival tiga hari itu pada acara perasmian Jumaat, 25 Mac.

 

Beliau berkata, pelbagai aktiviti menarik akan berlangsung sepanjang AKM dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan untuk bersama berbasikal menyertai program ‘Funride’ Keluarga Malaysia pada hari kedua AKM.

 

“Kami harap orang ramai tidak melepaskan peluang ini kerana turut berlangsung pada masa yang sama adalah Jualan Keluarga Malaysia, yang sudah pasti ditunggu kerana menawarkan barangan dengan potongan harga rendah, selain itu juga terdapat pemeriksaan kesihatan percuma yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

 

Faizal berkata selain itu Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) turut menyediakan satu kemah khas untuk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi mengetengahkan produk masing-masing.

 

“Saya difahamkan lebih daripada 115 gerai  jualan disediakan, dan ini adalah peluang terbaik untuk semua usahawan tempatan mempromosikan produk mereka kepada orang ramai, sama ada di Perlis atau dari luar,” katanya.

 

Katanya selain itu juga sebanyak 1,000 peluang pekerjaan juga ditawarkan secara jumpa terus untuk golongan belia dan graduan di negeri ini.

 

Beliau berkata walaupun tidak mewajibkan ujian kendiri COVID-19, pengunjung digalakkan untuk melakukan secara sukarela sebelum hadir ke program tersebut. - DagangNews.com