SHAH ALAM 29 April - Tradisi menghargai warga kerja yang akan bertugas pada 1 Syawal kelak diteruskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Persatuan Wanita TNB (PELITAWANIS) dengan penyediaan bingkisan kuih raya yang bakal diagihkan.
Penyediaan bingkisan ini adalah untuk diagihkan kepada warga kerja TNB di Semenanjung dan Sabah yang dijadualkan bertugas secara giliran atau tunggu sedia pada raya pertama Aidilfitri nanti.
Tahun ini, meskipun masih berdepan dengan situasi pandemik COVID-19, PELITAWANIS bersama enam cawangan sekitar Lembah Kelang telah menyediakan 10,409 pek bingkisan kuih raya, berbanding 10,260 pada tahun lalu.
Yang Dipertua PELITAWANIS TNB, Datin Noor Aizah Abd Karim berkata, tugasan penyediaan pek bingkisan disempurnakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan kerajaan dan Syarikat.
Ini termasuk memakai pelitup muka serta mengambil bacaan suhu badan ahli persatuan sebelum dibenarkan membungkus kuih.
Penyediaan bingkisan ini yang bermula sejak 14 April lalu dijangka selesai pada 30 April 2021, dan ia akan diagihkan secara berperingkat bermula 3 Mei 2021.
Tradisi penyediaan dan pembungkusan bingkisan raya telah dilakukan TNB melalui PELITAWANIS sejak tahun 2005, sebagai tanda penghargaan kepada warga kerja yang bertungkus-lumus memastikan bekalan elektrik kekal selamat dan stabil sepanjang Aidilfitri, khususnya ketika negara masih berhadapan dengan pandemik COVID-19. - DagangNews.com