11 persatuan melibatkan rantaian bekalan minyak sawit minta kerajaan tangguh pelaksanaan gaji minimum RM1,500 | DagangNews Skip to main content

11 persatuan melibatkan rantaian bekalan minyak sawit minta kerajaan tangguh pelaksanaan gaji minimum RM1,500

KUALA LUMPUR 6 April - Sejumlah 11 persatuan mewakili rantaian bekalan minyak sawit Malaysia meminta agar kerjaaan menangguhkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan dan menggesa agar ia dijalankan secara berperingkat agar industri itu tidak terjejas.

 

Persatuan itu menyatakan sokongan terhadap pelarasan gaji minimum tetapi menggesa agar pendekatan yang tepat digunakan dengan kerjasama Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan (NWCC) agar keseimbangan antara kebajikan pekerja dan majikan dapat dicapai.

 

Mereka juga menyatakan, bahawa semua pihak memerlukan masa untuk membuat pelarasan selepas dilanda pandemik COVID-19 dan mencari penyelesaian terbaik untuk berhadapan peningkatan kos bahan mentah yang tinggi akibat konflik Rusia-Ukraine.

 

"Sebarang kenaikan gaji minimum yang digazetkan tidak boleh ditarik balik apabila sudah dilaksanakan dan ia mempunyai kaitan dengan kos pengeluaran dan sektor perladangan juga tidak terkecuali.

 

"Pelaksanaan dasar gaji minimum perlu dilakukan secara teratur bagi memastikan semua sektor termasuk rantaian bekalan minyak sawit dapat mengekalkan pertumbuhan ekonomi tanpa perlu berhadapan tekanan inflasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Persatuan itu menyatakan bahawa mereka tidak boleh menetapkan harga produk sebaliknya ia ditentukan oleh pasaran global dengan pelbagai faktor dalam menentukan bekalan dan permintaan bersama minyak makan yang lain.

 

"Kami tidak boleh menyerap tekanan kenaikan kos dalam penghasilan produk seperti kenaikan gaji atau permintaan pelanggan seperti perniagaan lain.

 

sawit

 

"Apabila harga komoditi merudum, margin keuntungan kami akan menurun namun kos tetap tinggi berbanding harga jualan," katanya.

 

Selain itu,  pengusaha kelapa sawit juga berdepan kos operasi yang sangat tinggi akibat kenaikan harga baja bersama bahan agrokimia yang lain serta bahan bakar. 

 

Mereka juga menegaskan bahawa sektor minyak sawit Malaysia sukar untuk mengekalkan daya saingnya selepas mmengetepikan situasi geopolitik yang memberi sokongan kepada kenaikan semasa harga komoditi.

 

Katanya, kenaikan gaji minimun sebanyak 36% menjelang 1 Mei 2022 adalah kenaikan ketara bagi pengusaha kelapa sawit di luar bandar yang berdepan masalah COVID-19, kekurangan pekerja, sekatan pergerakan dan kos operasi yang tinggi.

 

sawit

 

Persatuan itu berkata, pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 secara berperingkat akan membantu mereka berdepan kenaikan itu secara sistematik dan lebih inklusif.

 

"Diharapkan, pada masa akan datang gaji akan menjadi lebih menarik dan didatangkan bersama faedah lain bagi menarik lebih ramai menyertai sektor minyak sawit manakala pemegang taruh akan berusaha melaksanakan mekanisme yang berkesan untuk meningkatlan produktiviti," katanya. - DagangNews.com