110 usahawan mikro berjaya dinaik taraf melalui program Growbiz | DagangNews Skip to main content

110 usahawan mikro berjaya dinaik taraf melalui program Growbiz

Noor Afifah Abdul Razak, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Pemantauan mewakili Ketua Setiausaha KUSKOP dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy bersama peserta yang telah berjaya menamatkan penyertaan di bawah Program GrowBiz 2023/2024.
Oleh Syaza Norazharuddin

KUALA LUMPUR 26 Julai - Seramai 110 usahawan mikro telah berjaya dinaik taraf dalam Program GrowBiz, sebuah inisiatif Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) oleh SME Corp. Malaysia.

 

Majlis Graduasi Program GrowBiz 2023/2024 itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Sri Suriani Datuk Ahmad pada Khamis. 

 

Program itu telah diperkenalkan pada tahun 2021/2022 dan graduan 2023/2024 merupakan kumpulan kedua dalam pelaksanaan Program GrowBiz.

 

SME Corp berkata,  program itu memberi bimbingan kepada usahawan dalam menaik taraf perniagaan mereka daripada perniagaan bersaiz mikro kepada kecil serta meningkatkan pengetahuan, kecekapan dan produktiviti perniagaan.

 

GrowBiz menggunakan pendekatan 'bimbingan tangan' ke atas perusahaan mikro yang merangkumi elemen latihan, coaching dan pemantauan bagi membimbing perusahaan mikro meningkatkan perniagaan ke tahap seterusnya.

 

Di samping itu, program Growbiz 2023/2024 dilaksanakan oleh rakan pelaksana yang dilantik oleh SME Corp iaitu Entrepreneur Culture Incorporated Sdn. Bhd. (ECI) dengan sokongan Bank Simpanan Nasional (BSN), Tekun Nasional dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC).

 

Suriani dalam ucapannya menekankan tentang keperluan untuk usahawan bersikap responsif terhadap perubahan polisi dan landskap perniagaan terkini, kepentingan transformasi digital dan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta pengurusan kewangan dan risiko. 

 

"Pada tahun ini, sebanyak 275 program ditawarkan oleh pelbagai Kementerian dan agensi kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan peruntukan RM15.1 billion yang akan memanfaatkan 479,758 PMKS. 

 

"Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan ekosistem yang kondusif untuk pembangunan PMKS, termasuklah melalui Program GrowBiz," ujarnya. 

 

Dalam majlis yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Datuk Nainy berkata, berdasarkan kaji selidik, selepas enam bulan tamat penyertaaan Program GrowBiz, kesemua 50 peserta menunjukkan peningkatan jualan sehingga ada yang berjaya mencecah 718% setahun.


 
"Selain itu, 66% peserta telah berjaya menaiktaraf perniagaan daripada mikro kepada kecil manakala 58% peserta menambah bilangan pekerja yang berjaya mewujudkan 139 pekerjaan baharu. 

 

"Terdapat juga beberapa peserta yang telah menambah bilangan premis dan rakan niaga serta berjaya mengeksport produk atau perkhidmatan ke China, Brunei, Vietnam dan Filipina,” ulasnya. 

 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Pemantauan KUSKOP, Noor Afifah  Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy dan Ketua Pegawai Eksekutif Entrepreneur Culture Incorporated Sdn. Bhd., Dr. Wan Arjunawan Wan Halim.- DagangNews.com