13,600 penjawat awam Terengganu terima RM800 Januari depan | DagangNews Skip to main content

13,600 penjawat awam Terengganu terima RM800 Januari depan

Terengganu. Gambar hiasan oleh Malaysia Dateline

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Kira-kira 13,600 penjawat awam di negeri Terengganu bakal menerima pemberian insentif berjumlah RM800 melalui Belanjawan 2021 negeri berkenaan.

 

Berita gembira itu diumumkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Samsuri Mokhtar semasa membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu yang bertemakan "Melestarikan Kesejahteraan Bersama”.

 

"Pemberian insentif sebanyak RM800 kepada kira-kira 13,600 penjawat awam di Terengganu yang akan dibayar Januari ini," jelas beliau ketika membentangkan belanjawan tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, lapor Bernama

 

Insentif khas itu diumumkan sebagai penghargaan kepada kerja keras dan kesetiaan penjawat awam negeri berkenaan.

 

Belanjawan 2021 Terengganu memperuntukkan sebanyak RM1.375 bilion untuk perbelanjaan mengurus.

 

Beliau berkata, jumlah tersebut meliputi perbelanjaan tanggungan sebanyak RM94.98 juta (6.92%) dan perbelanjaan bekalan sebanyak RM1.28 bilion (93.09%).

 

Perbelanjaan bekalan meliputi pemberian dan kenaan bayaran tetap sebanyak RM774.90 juta (56.36%), emolumen sebanyak RM275.75 juta (20.05%), perkhidmatan dan bekalan sebanyak RM207.1 juta (15.06%), aset sebanyak RM21.27 juta (1.55%) dan perbelanjaan-perbelanjaan lain sebanyak RM1 juta (0.07%).

 

Bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap, sebanyak RM150 juta (10.91%) adalah untuk caruman Kumpulan Wang Pembangunan, RM270 juta (19.64%) untuk pelbagai perkhidmatan, RM195.3 juta (14.20%) untuk caruman Pihak Berkuasa Tempatan dan badan berkanun, RM124.9 juta (9.08%) untuk jabatan kerajaan manakala RM34.7 juta (2.52%) untuk caruman pelbagai agensi.

 

Dalam pada itu, Belanjawan 2021 Terengganu itu turut memperuntukkan RM20.17 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air dan RM 615 juta untuk perbelanjaan pembangunan yang meliputi sektor ekonomi pertanian, pelancongan dan industri (RM27 juta), sektor pentadbiran yang terdiri daripada teknologi maklumat, pentadbiran am, projek khas dan projek penting luar jangka (RM88 juta), dan sektor sosial seperti pendidikan, infrastruktur dan pembangunan luar bandar (RM500 juta).

 

Jelas beliau, perbelanjaan mengurus bagi belanjawan kali ini berkurangan kira-kira 25% berbanding Belanjawan 2020, susulan penyusutan anggaran hasil kepada RM1.25 bilion pada tahun 2021, berdasarkan anggaran harga minyak mentah Brent AS$40 setong berbanding RM1.66 bilion pada 2020.

 

“Walaupun terdapat kekangan kewangan, sokongan dan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan Royalti Petroleum secara penuh serta membayar hutang pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 berjumlah RM1.431 bilion kepada kerajaan negeri, diharapkan dapat merealisasikan agenda pembangunan wilayah yang seimbang untuk Terengganu,”

 

"Walaupun kerajaan negeri masih dibebani dengan pembayaran tertangguh dan pembayaran berjadual berjumlah RM439.75 juta bagi 2021, risiko kelembapan ekonomi dan perbelanjaan luar jangka akibat COVID-19, kerajaan negeri tetap komited dalam mengawal defisit supaya tidak melebihi 10% atau RM125 juta," tambah beliau lagi. - DagangNews.com