TELUK INTAN 14 Nov - Seramai 160 orang penduduk dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) ekoran kejadian banjir yang berlaku di beberapa buah kawasan di sini.
Antara kawasan yang terlibat banjir sejak pagi semalam adalah Kampung Batu 7, Batu 8 dan Batu 9 di Changkat Jong.
Ketika ini PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib, Batu 4 menempatkan 114 mangsa dan PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak (46).
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak, Saidi Shaari berkata, PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak dibuka pada pukul 4 petang semalam.
"Ia bagi memindahkan mangsa di kawasan Kampung Changkat Jong.
"Tindakan penyelarasan segera penyediaan dan pelaksanaan bantuan kecemasan dari jabatan serta agensi peringkat daerah Daerah Hilir Perak telah dilaksanakan," ujarnya dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu di Kamunting, Taiping, pemantauan dilakukan pasukan penyelamat susulan banjir kilat di Kampung Pinang Seberang dan Taman Kamunting Permai malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak memaklumkan, pemantauan mendapati air naik setinggi 0.3 meter akibat hujan pada sebelah petang.
Bagaimana pun, tiada lagi mangsa yang dipindahkan manakala pemantauan berterusan dilakukan. - DagangNews.com