161,603 berjaya dapat kerja tahun lalu | DagangNews Skip to main content

161,603 berjaya dapat kerja tahun lalu

 161,603 berjaya dapat kerja tahun lalu

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Mac. - Seramai 161,603 pencari kerja berjaya ditempatkan di dalam pekerjaan baharu sepanjang tahun 2020.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat 26 Februari tahun ini, seramai 25,645 orang lagi telah berjaya mendapat pekerjaan.

 

"Melalui MyFutureJobs, terdapat 243,892 tawaran pekerjaan yang masih terbuka untuk para pencari kerja di mana 143,320 peluang pekerjaan telah diwujudkan menerusi portal MYFutureJobs," jelas beliau dalam Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin hari ini.

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin 

 

Pada tahun 2020, sebanyak 107,024 kes pemberhentian kerja dilaporkan impak penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

 

Sebanyak 14,273 kes pemberhentian kerja lagi turut dilaporkan bagi tempoh sehingga 21 Februari 2021.

 

Bagi mengatasi masalah tersebut, beliau memberitahu, kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara (MPN) yang merupakan badan tertinggi dalam penetapan dasar dan strategi serta pemantauan pelaksanaan inisiatif berkaitan penciptaan pekerjaan.

 

"Bagi tahun 2021, MPN menyasarkan untuk mewujudkan sebanyak 500,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini. 

 

"Untuk tujuan ini, kerajaan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang melaksanakan program PenjanaKerjaya 2.0 dan pemerkasaan portal MYFutureJobs bagi menggalakan majikan mengambil dan melatih pekerja-pekerja baharu," ujar beliau. - DagangNews.com