168 Park Selayang umum Village Grocer sebagai penyewa utama pusat beli-belah komuniti | DagangNews Skip to main content

168 Park Selayang umum Village Grocer sebagai penyewa utama pusat beli-belah komuniti

Edward Lum (kiri) dan Ivan Tan ketika majlis menandatangani antara Village Grocer dan 168 Park Selayang
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos - 168 Park Selayang, projek pembangunan bercampur pertama di Selayang, mengumumkan Village Grocer sebagai penyewa utama bagi pusat beli-belah komunitinya.

 

Village Grocer akan mempunyai keluasan 20,558 kaki persegi daripada jumlah ruang sewaan seluas 235,000 kaki persegi di pusat beli-belah berkenaan dan bakal menyemarakkan unsur gaya hidup di Selayang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif 168 Park Selayang Sdn Bhd, Edward Lum berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjadikan Village Grocer sebagai penyewa utama dan ia seiring dengan matlamat untuk meningkatkan imej keseluruhan Selayang dan menarik lebih ramai pelanggan untuk mengunjungi pusat beli-belah berkenaan. 

 

Katanya, Village Grocer mampu untuk memenuhi keperluan membeli-belah penghuni dan konuniti kami dengan pilihan meluas yang selari dengan usaha kami untuk meningkatkan kehidupan serba moden di Selayang. 

 

"Kehadiran Village Grocer bukan sahaja meningkatkan pengalaman membeli-belah tetapi juga mengukuhkan kedudukan kami sebagai hab kemudahan, keselesaan dan penglibatan komuniti," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut Lum, pada bulan hadapan, pihaknya juga akan mengumumkan jenama terkemuka dan antarabangsa yang akan menjadi sebahagian daripada pusat beli-belah komuniti 168 Park Selayang.

 

Pengarah Eksekutif Kumpulan The Food Purveyor, Ivan Tan berkata, pihaknya berbangga untuk menjadi sebahagian daripada pusat beli-belah komuniti 168 Park Selayang dan komited untuk menyediakan perkhidmatan kepada komuniti Selayang dengan produk berkualiti tinggi. 

 

 

168park

 

 

"Apa yang menjadi tarikan utama kami kepada 168 Park Selayang adalah lokasi strategiknya yang berhampiran dengan pusat bandar Kuala Lumpur, dan projek ini juga merupakan pembangunan paling ketara di Selayang. 

 

"Apabila kami melihat reka bentuk pusat beli-belah komuniti tersebut yang menggabungkan kemudahan berkonsepkan resort, kami benar-benar kagum. 

 

"Reka bentuk ini bukan hanya menawarkan pelanggan Village Grocer untuk membeli-belah barangan runcit mereka malah menikmati pengalaman menyeluruh yang membolehkan mereka menjamu selera dan bersantai dengan pelbagai jenis kedai yang terdapat di 168 Park Selayang," katanya.

 

Projek pembangunan ini terdiri daripada tiga bangunan kediaman bertingkat dengan pelbagai pilihan susun atur yang optimum. Ketika majlis menandatangani perasmian, 168 Park Selayang mengumumkan pelancaran awal Blok B. 

 

Blok B bakal menjadi mercu tanda penting di Selayang dengan bangunan pencakar langit 49 tingkat yang menjadikannya bangunan paling tinggi di Selayang. Sehingga Julai 2023, lebih daripada 90% Blok A yang terdiri daripada 477 unit telah dijual, manakala Blok C pula telah dijual sepenuhnya. - DagangNews.com