17,489 unit kenderaan Mitsubishi terjual pada 2021, meningkat 91% | DagangNews Skip to main content

17,489 unit kenderaan Mitsubishi terjual pada 2021, meningkat 91%

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - Jualan kenderaan Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) melonjak 91% kepada 17,489 unit pada 2021 berbanding dengan tahun sebelumnya, 

 

MMM yang juga pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi Motors di Malaysia berkata, pencapaian jualan itu dipacu oleh model Xpander yang menggabungkan gaya, praktikal dan harga yang kompetitif.

 

 Ujarnya, Xpander melakarkan prestasi jualan terbaik dengan 7,397 unit terjual dari Januari hingga Disember 2021, sekali gus menjadi kenderaan ‘crossover’ tujuh tempat duduk Jepun nombor satu paling laris di Malaysia.

 

“Trak pikap Triton juga merekodkan kejayaan dengan 9,268 unit terjual dari Januari hingga Disember 2021. 

 

"Ini merupakan peningkatan jualan sebanyak 34%  berbanding dengan angka pada tempoh yang sama 2020,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shinya Ikeda berkata, Xpander mencatatkan prestasi jualan yang kukuh, susulan lanjutan tempoh insentif tanpa cukai, yang turut menyokong industri mengekalkan prestasi pada fasa mencabar ini. 

 

Beliau berkata walaupun perniagaan pada tahun lalu sekali lagi terganggu dengan COVID-19, pihaknya berterima kasih kepada pelanggan kerana menunjukkan kepercayaan, keyakinan dan kesetiaan terhadap jenama Mitsubishi Motors. 

 

“Kini kami bergerak ke hadapan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran Xpander bagi memenuhi kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi dan semua permintaan tempahan. 

 

“Pertumbuhan berterusan pasaran Mitsubishi Motors berbanding dengan tahun lepas merupakan petanda bahawa kami secara stabil sedang bergerak ke arah pemulihan,” katanya. 

 

Dalam pada itu, beliau berkata, MMM akan menawarkan diskaun 30% untuk alat ganti tulen Mitsubishi dan diskaun 50% ke atas kos buruh mulai hari ini hingga 20 Januari, 2022 bagi kenderaan yang rosak akibat banjir. 

 

"Mitsubishi Motors juga akan membantu pemilik dengan menawarkan perkhidmatan tunda percuma. Semua pelanggan perlu menghubungi talian khidmat pelanggan 24Jam Mitsubishi Assist (MA24) di 1-800-88-2166 untuk mendapatkan perkhidmatan ini," katanya. -DagangNews.com