18 pelajar Degraph UiTM Perak hasilkan mural hiasi SK Felcra Nasaruddin | DagangNews Skip to main content

18 pelajar Degraph UiTM Perak hasilkan mural hiasi SK Felcra Nasaruddin

Sebahagian daripada ahli-ahli Degraph UiTM Cawangan Perak menunjukkan mural yang dihasilkan pada dinding SK Felcra Nasaruddin, Bota.
Oleh Zaki Salleh

PARIT 19 Jun - Pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perak mencurahkan kreativiti mereka apabila menghasilkan mural pada dinding Sekolah Kebangsaan (SK) Felcra Nasaruddin, Bota di sini.

 

Program Mural Jelajah Bakti Mahasiswa UiTM Cawangan Perak 2023 melibatkan 18 pelajar dan tiga pensyarah ini dijayakan sebagai salah satu projek khidmat sosial.

 

Ia anjuran Hal Ehwal Pelajar UiTM Perak, Persatuan Pelajar Grafik (Degraph), Kolej Cempaka Sari UiTM Seri Iskandar dan SK Felcra Nasaruddin.

 

Pengarah Program, Wan Nurul Izzati Wan Muhammad Zulkifli berkata, projek mural ini disertai pelajar diploma dan ijazah sarjana muda Jabatan Grafik & Media Digital UiTM Perak. 

 

Para pelajar menyiapkan lakaran mural terlebih dahulu pada waktu malam.
Para pelajar menyiapkan lakaran mural terlebih dahulu pada waktu malam.

 

Ujarnya yang juga pensyarah di jabatan itu, mereka mengambil masa dua hari untuk menyiapkan lukisan mural tersebut.

 

"Kita memilih SK Felcra Nasaruddin yang merupakan sebuah sekolah di kawasan luar bandar yang letaknya tidak jauh dari kampus UiTM Perak.

 

“Lukisan mural yang bertemakan pendidikan dan flora ini bukan sahaja sebagai hiasan untuk mencantikkan sekolah tetapi suntikan semangat kepada murid-murid di sini untuk terus berjaya," katanya.

 

Jelas Wan Nurul Izzati, program ini memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar yang juga ahli Degraph untuk menguruskan program yang bersifat kemasyarakatan.

 

Ia juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan jaringan kerjasama antara penduduk tempatan.

 

Cabaran utama untuk menyiapkan lukisan mural ialah cuaca panas.
Cabaran utama untuk menyiapkan lukisan mural ialah cuaca panas.

 

Wan Nurul Izzati (barisan belakang, empat dari kanan) bersama pelajar dan pensyarah yang menjayakanbProgram Mural Jelajah Bakti Mahasiswa UiTM Cawangan Perak 2023.
Wan Nurul Izzati (barisan belakang, empat dari kanan) bersama pelajar dan pensyarah yang menjayakan Program Mural Jelajah Bakti Mahasiswa UiTM Cawangan Perak 2023.

 

"Penyertaan para pelajar ini memberikan nilai tambah kepada mereka dari segi meningkatkan kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan sifat kepimpinan.

 

"Impak kepada universiti pula ialah kita menjalinkan kerjasama akademik dan sukarelawan membabitkan mobiliti pelajar dan kakitangan. 

 

"Ia mengukuhkan kelestarian kerjasama dua hala antara mahasiswa dan komuniti tempatan iaitu pihak sekolah," jelasnya.

 

Bagi salah seorang peserta projek, Nurul Adzwa Azman, penghasilan lukisan mural tersebut dapat mengindahkan sekolah.

 

"Kami menyiapkan lakaran mural dahulu pada waktu malam iaitu semasa hari pertama.

 

"Lukisan disiapkan pada hari kedua bermula pukul 8 pagi hingga 2 petang. Cabaran utama ialah cuaca panas, namun atas semangat berpasukan lukisan dapat disiapkan mengikut jadual," katanya. - DagangNews.com