180,072 pekebun kecil sudah terima pensijilan MSPO setakat Julai 2022 - Zuraida | DagangNews Skip to main content

180,072 pekebun kecil sudah terima pensijilan MSPO setakat Julai 2022 - Zuraida

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Sept - Seramai 180,072 orang pekebun kecil membabitkan keluasan 637,564.89 hektar tanaman sawit telah menerima Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sehingga Julai 2022.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan komited membantu pekebun kecil mendapat pensijilan MSPO bagi pengeluaran minyak sawit secara lestari dan peningkatan produktiviti buah tandan segar.

 

Selain itu, katanya, terdapat bantuan dalam bentuk yuran pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO dan penyediaan peralatan perlindungan keselamatan diri (PPE). 

 

"Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sentiasa berusaha mempergiat pembangunan pekebun kecil tanaman sawit di negara ini.

 

"Oleh itu, pelaksanaan MSPO merupakan inisiatif tepat bagi mempertingkatkan mutu pengurusan penanaman kelapa sawit menerusi amalan pertanian terbaik bagi meningkatkan stardard minyak sawit Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Beliau berkata demikian sempena perasmian Pusat Timbang Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Kimanis Bhd. di Sabah. 

 

 

zuraida kamaruddin
Zuraida Kamaruddin ketika merasmikan Pusat Timbang Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Kimanis Bhd. di Sabah, hari ini

 

 

Di negeri tersebut, 29 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) telah dipersijilkan MSPO, melibatkan 26,464 pekebun kecil dengan keluasan tanaman sawit berjumlah 167,660 hektar. 

 

Bagi SPOC S5 yang merangkumi kawasan Kimanis, Papar dan Penampang, seramai 138 pekebun kecil telah memperoleh sijil MSPO dengan keluasan berjumlah 1,330 hektar.

 

Menurut Zuraida, sehingga Julai 2022, sebanyak 69  KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu 24 di Semenanjung, 27 di Sabah dan 18 KPSM di Sarawak. 

 

Katanya, sebanyak 66 pusat timbang KPSM telah siap dibina sepenuhnya dan telah melaksanakan jualan kelompok BTS terus ke kilang dengan jumlah sebanyak 149,241 tan. 

 

"Di Sabah, sebanyak 25 KPSM telah menjalankan urus niaga BTS berjumlah 222,389.32 tan, sekali gus memberi manfaat kepada 2,415 orang pekebun kecil yang menjadi ahli," katanya.

 

Jelas beliau, KPSM ditubuhkan sebagai langkah strategik kerajaan melalui KPPK bagi menjamin keterlibatan pekebun kecil dalam model ekonomi baharu yang memberi tumpuan kepada pengendalian koperasi serta industri kecil dan sederhana.

 

"Secara dasarnya, koperasi itu menjalankan perniagaan yang memberi kesan langsung kepada peningkatan pendapatan ahli seperti jualan buah tandan segar berkelompok dan pembelian input secara pukal selain boleh terbabit dalam perniagaan lain untuk memperkukuh status kewangan koperasi yang kemudian diagih sebagai dividen kepada ahli," tambahnya. 

 

KPSM Kimanis Bhd. telah ditubuhkan pada 15 Julai 2020 dengan keahlian berjumlah 56 orang setakat Julai 2022. Pusat Timbang KPSM Kimanis yang baru siap telah memulakan jualan BTS pada Jun 2022. 

 

Penubuhan KPSM di negara ini telah bermula sejak 2010 mengikut Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia di mana pelbagai bantuan oleh Kerajaan telah disalurkan bagi meningkatkan aktiviti dan sumbangan koperasi untuk pembangunan pekebun kecil sawit. - DagangNews.com