19 lagi lapangan terbang dilengkapi peralatan keselamatan terkini | DagangNews Skip to main content

19 lagi lapangan terbang dilengkapi peralatan keselamatan terkini


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Sebanyak 19 lagi lapangan terbang di seluruh negara dilengkapi dengan sistem keselamatan penularan COVID-19 iaitu pengesan suhu dan penahan bersin (sneeze guard) tambahan yang terkini.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd. Shukrie Salleh, pihaknya telah menguji penyelesaian teknologi terkini di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) terlebih dahulu sebelum melancarkannya ke lapangan terbang lain. 

 

“Sejak bermulanya wabak pandemik, kami tidak berhenti meneroka langkah dan cara untuk mengurangkan risiko COVID-19. Kami menganggap ini sebahagian daripada kewajipan untuk memastikan negara ini selamat. 

 

Mohd. Shukrie Salleh
Mohd. Shukrie Salleh

 

“Kami bekerja rapat dengan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan terutamanya menerusi jawatankuasa bersama KLIA, Jawatankuasa COVID KLIA,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Sebanyak 23 pengesan suhu baharu dan 600 penahan bersin akan dipasang di kesemua 19 lapangan terbang itu.

 

Sebanyak 12 lapangan terbang selain KLIA telah lengkap dipasang dengan peralatan keselamatan berkenaan. 

 

Ini termasuklah Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Subang, Lapangan Terbang Terengganu, Lapangan Terbang Tawau, Lapangan Terbang Labuan, Lapangan Terbang Alor Setar, Lapangan Terbang Sandakan, Lapangan Terbang Kota Bharu dan Lapangan Terbang Miri. 

 

LIA
Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi

 

Sementara itu, sebanyak tujuh buah lapangan terbang kini dalam proses pemasangan peralatan itu termasuk Lapangan Terbang Ipoh, Lapangan Terbang Kuantan, Lapangan Terbang Melaka, Lapangan Terbang Bintulu, Lapangan Terbang Limbang, Lapangan Terbang Sibu dan Lapangan Terbang Lahad Datu. 

 

Kesemua pemasangan itu dijangka selesai menjelang hujung bulan ini. 

 

Tambah Mohd. Shukrie, MAHB berhak untuk menyelenggara tahap keselamatan tinggi tanpa berkompromi pada tahap perkhidmatan yang sesuai dengan reputasi KLIA sebagai salah satu lapangan terbang terbaik di dunia. 

 

“Ini sangat penting ketika kami melaksanakan kebiasaan baharu dalam perjalanan udara, kami akan terus menyediakan pengalaman lapangan terbang lancar buat penumpang,” katanya. - DagangNews.com