Platform Zetrix oleh MyEG tawar perkhidmatan ID digital kepada warganegara dan perniagaan China untuk pengesahan di luar negara | DagangNews Skip to main content

Platform Zetrix oleh MyEG tawar perkhidmatan ID digital kepada warganegara dan perniagaan China untuk pengesahan di luar negara

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 12 Dis - MyEG Services Bhd (MyEG) menerusi platform blockchain Zetrix, bekerjasama dengan Astron-Xinghuo BIF untuk menawarkan kad pengenalan digital dan perkhidmatan pendaftaran perniagaan kepada warganegara dan entiti perniagaan China, bagi tujuan pengesahan di luar China.

 

Perkhidmatan yang dikenali sebagai ZID itu mendigitalkan ID pendaftaran nasional atau perniagaan rasmi China sebagai kelayakan boleh dipercayai (VC) yang boleh disahkan dalam Web3, membolehkan pengesahan identiti yang bebas penipuan secara masa nyata.

 

"Dalam kes ID pendaftaran perniagaan, setiap VC boleh dikemukakan kepada pihak ketiga di luar negara sama ada entiti kerajaan, komersial atau individu swasta untuk tujuan pengesahan keaslian perniagaan secara masa nyata.

 

"Begitu juga dengan warganegara China, mereka boleh menerbitkan ID nasional mereka sebagai VC yang kemudian dapat diakses oleh entiti pengesahan identiti di luar China," kata MyEG dalam satu kenyataan.

 

MyEG berkata, Astron-Xinghuo BIF adalah rangkaian antarabangsa blockchain awam yang dibenarkan oleh kerajaan China di bawah Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat.

 

Pengarah Urusan MyEG, Pengasas Bersama dan pemegang saham utama, Wong Thean Soon berkata, pihaknya berhasrat mengeluarkan satu bilion VC yang boleh disahkan menerusi ekosistem Web3.

 

"Dengan sokongan dan penggunaan oleh pelbagai organisasi kerajaan, kami menjangkakan ID digital akan menjadi aplikasi utama untuk Web3," katanya.

 

Zetrix, bersama MyEG sebagai satu kumpulan, adalah rakan kongsi utama dalam penyediaan rumusan ID nasional Malaysia.

 

Dalam keputusan kewangan terbaharu MyEG, kumpulan mencatatkan lonjakan tahun ke tahun dalam keuntungan bersih untuk suku ketiga ke paras tertinggi, yang dikaitkan dengan yuran perkhidmatan aplikasi Web3 di platform Zetrix dan jualan mata wang kripto token Zetrixnya.

 

Keuntungan bersih untuk suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY2024) melonjak 62.6% kepada RM195.05 juta dari RM120 juta pada suku yang sama tahun lepas, manakala hasil suku tahunan meningkat hampir 28% kepada RM248.13 juta berbanding RM194.12 juta.

 

Dalam nota pendapatan pasca-3QFY2024 pada akhir November, penganalisis menjangkakan sumbangan dari aplikasi berkaitan Zetrix akan meningkat seiring dengan pelancaran lebih banyak perkhidmatan di platform tersebut.

 

Saham MyEG ditutup setengah sen atau 0.53% lebih tinggi pada 94 sen, menilai penyedia e-perkhidmatan itu pada RM7.17 bilion. - DagangNews.com