Perincian pembinaan rangkaian 5G kedua antara tumpuan sektor telekomunikasi pada separuh pertama 2025 | DagangNews Skip to main content

Perincian pembinaan rangkaian 5G kedua antara tumpuan sektor telekomunikasi pada separuh pertama 2025

Gambar: freepik.com
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Dis - Kejelasan dan panduan mengenai syarat yang ditawarkan bagi membina rangkaian 5G kedua akan menjadi antara perkara utama yang akan diberi perhatian dalam sektor telekomunikasi pada separuh pertama 2025.

 

UOB Kay Hian Research berkata, dua perkara lain yang perlu diberi perhatian ialah persaingan harga memandangkan saingan sengit daripada CelcomDigi Bhd, ditambah penjimatan daripada sinergi berikutan penggabungan Celcom dan Digi.

 

"Jumlah penjimatan sinergistik daripada perbelanjaan mengurus dan modal dianggarkan RM8 bilion menjelang 2027.

 

“Kira-kira 65% daripada penjimatan untuk CelcomDigi akan datang daripada penyepaduan rangkaian, seperti penamatan menara pendua secara berperingkat. 

 

"CelcomDigi mencapai hampir 70% daripada keseluruhan sasaran penyepaduan rangkaiannya, dengan lebih 10,500 tapak dimodenkan pada akhir Oktober 2024,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan tu berkata, ia membolehkan CelcomDigi menjana penjimatan sinergi kasar sebanyak RM1 bilion dalam sembilan bulan pertama 2024 berbanding RM727 juta pada separuh pertama 2024 dan meningkatkan panduan kepada RM1.1 bilion kepada RM1.2 billion.

 

Mengenai rangkaian 5G kedua, UOB Kay Hian berkata menjangkakan U Mobile Sdn Bhd, yang memenangi proses pembidaan, bekerjasama dengan Maxis Bhd untuk membina rangkaian itu.

 

Menurut kenyataan U Mobile berikutan anugerah itu pada 1 November 2024, ia dibenarkan untuk bekerjasama dengan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) lain bagi melaksanakan rangkaian kedua.

 

“Maxis mungkin bakal rakan kongsi U Mobile dalam entiti untuk membina rangkaian kedua. Ini mungkin termasuk banyak pilih atur, termasuk pegangan ekuiti dalam kenderaan tujuan khas yang akhirnya akan memegang spektrum 5G untuk dimiliki oleh Maxis dan U Mobile," katanya.

 

Sementara tu, Telekom Malaysia Bhd (TM) melaporkan pendapatan yang mendahului jangkaan berikutan kos faedah yang lebih rendah dan disiplin kos.

 

Dalam segmen mudah alih, Maxis menunjukkan prestasi kukuh merentas strategi penumpuan pascabayar dan mudah alihnya, mencatatkan pertumbuhan keuntungan bersih yang teguh sebanyak 8% tahun setakat ini.

 

“Kami mendapati persaingan kekal sengit dalam pasaran jalur lebar rumah kerana pertumbuhan pelanggan bersih TM kekal dalam angka tunggal yang rendah sejak suku keempat 2023 (4Q23). Ini adalah hasil gabungan perkhidmatan yang agresif daripada CelcomDigi dan Maxis," katanya. - DagangNews.com