192 graduan peroleh pekerjaan di 25 syarikat bioteknologi melalui program BeST 2.0 - MOSTI | DagangNews Skip to main content

192 graduan peroleh pekerjaan di 25 syarikat bioteknologi melalui program BeST 2.0 - MOSTI

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Julai - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengumumkan seramai 192 graduan berjaya memperoleh pekerjaandi 25 buah syarikat bioteknologi dan berasaskan bio melalui program Kerjaya Dan Keusahawanan Bioagrotek & BioFarmaseutikal 2.0 (BeST 2.0) sejak 2021 sehingga 1 Mei 2023 di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12). 

 

Program itu dilaksanakan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) melalui bahagian BioAcademy, yang berprinsipkan “Place-Train-Hire” bagi menempatkan, melatih dan mengambil graduan sebagai pekerja berpengetahuan dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio.


 
Menterinya, Chang Lih Kang yakin bahawa program-program di bawah BioAcademy termasuklah BeST 2.0 dapat menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan, pengurangan pengangguran, penerapan teknologi moden dan pertumbuhan ekonomi yang rancak di Malaysia.

 

Beliau berkata, di samping itu, ia juga melahirkan lebih ramai pekerja berpengetahuan dan usahawan bio yang kompetitif dan bersedia menceburi pasaran global. 

 

"Program BeST 2.0 menyasarkan penempatan kerja berpengetahuan tinggi dan pendapatan tinggi seramai 600 graduan dalam sektor bioteknologi sepanjang program RMKe-12. 

 

"Kejayaan program BeST 2.0 merupakan satu langkah positif ke arah menangani cabaran jurang perbezaan antara kemahiran graduan tempatan dengan kemahiran tenaga kerja diperlukan yang sering dihadapi dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut beliau, program ini juga dapat membentuk tenaga kerja yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan dan kekosongan dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio.

 

Katanya, ia selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang disasarkan untuk membangunkan tenaga kerja dan bakat yang cekap dan adaptif untuk industri bioteknologi di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak pula berkata, kerjasama padu yang dijalinkan bersama 25 buah syarikat bioteknologi dan berasaskan bio merupakan kunci utama bagi kejayaan program BeST 2.0. 

 

"Bagi pengambilan pertama program BeST 2.0 iaitu pada 2021, syarikat-syarikat hos ini telah menyerap 93% (59 daripada 63 orang) peserta program BeST 2.0 untuk menjadi pekerja tetap. 

 

"Sokongan hebat diberikan pemain-pemain industri termasuklah yang syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator telah memudahkan Bioeconomy Corporation untuk berjaya memadankan graduan bioteknologi dan berasaskan bio dengan kemahiran dan kelayakan akademik yang diperlukan oleh syarikat-syarikat dalam industri ini," katanya.

 

Katanya, pihaknya ingin memperluaskan kerjasama dan pelaksanaan program-program di bawah BioAcademy untuk melatih dan melahirkan lebih ramai bio-usahawan muda dalam mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) Malaysia dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio ke pasaran tempatan dan luar negara, selari dengan program mySTI. 

 

"Dengan demikian, usaha ini akan menciptakan lebih banyak peluang pekerjaan dalam industri berasaskan teknologi," jelas beliau. - DagangNews.com