2 maut, 2 cedera dalam kejadian letupan kilang kimia Taman Perindustrian Samalaju | DagangNews Skip to main content

2 maut, 2 cedera dalam kejadian letupan kilang kimia Taman Perindustrian Samalaju

Pihak berkuasa menutup mayat mangsa dipercayai mangsa letupan di sebuah kilang kimia di Taman Perindustrian Samalaju. - Gambar - Amazing Sarawak

KUCHING 10 Mei - Sejumlah dua pekerja maut manakala dua lagi cedera dalam satu letupan yang menjadi punca kebakaran di sebuah kilang kimia di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu semalam.

 

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 petang itu dipercayai berpunca daripada sebuah unit di dalam loji kimia berkenaan namun Jabatan Bomba dan Penyelamat masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu.

 

Menurut laporan Sin Chew Daily Sarawak, dua pekerja berbangsa Iban berusia 34 dan 35 tahun maut dalam kejadian itu manakala dua lagi kakitangan berusia 26 dan 33 tahun yang mengalami kecederaan dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan di Hospital Bintulu.

 

Difahamkan, dalam kejadian itu, kesemua empat mangsa sedang bekerja di dalam kilang berkenaan sebelum sebuah mesin meletup secara tiba-tiba sekali gus mengorbankan dua pekerja dan mencederakan dua lagi kakitangan.

 

Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat di Hospital Bintulu.

 

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan kerana pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

 

Rakaman video mengenai kejadian itu tular di laman sosial dengan menunjukkan pihak berkuasa menutup mayat mangsa dengan kain.

 

Sekumpulan orang ramai dilihat berkumpul di lokasi kejadian sambil meratap dengan tangisan kesedihan boleh didengari semasa mayat diangkat ke atas kenderaan pihak berkuasa. - DagangNews.com