Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 13 April - SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia) bakal melaksanakan dua strategi jangka panjang untuk memberi tumpuan pertumbuhan seimbang dan mapan selain memastikan pertumbuhan PKS secara menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy berkata, ia selaras dengan komitmen SME Corp. Malaysia yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi(MEDAC) untuk terus membantu PKS tempatan.
"Strategi yang pertama adalah meningkatkan penubuhan firma berpertumbuhan tinggi dan inovatif bagi melonjakkan KDNK melalui sokongan dalam automasi, pendigitalan dan kelestarian.
"Strategi yang kedua pula adalah bagi meningkatkan sumbangan perusahaan mikro (B40) kepada ekonomi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu taklimat ketika sesi ramah mesra bersama media semalam.
Turut hadir, Pengerusi SME Corp. Malaysia, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee dan ahli-ahli perbadanan.
Di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi(Pemerkasa) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, SME Corp. Malaysia juga telah diperuntukan dana sebanyak RM60 juta bagi melaksanakan dua program iaitu Skim Pembiayaan Pengukuhan PKS dan TUBE@PEMERKASA.
Skim Pembiayaan Pengukuhan PKS menawarkan pembiayaan kepada PKS sehingga RM250,000 dengan kadar faedah sebanyak 3%.
Program TUBE@PEMERKASA pula adalah bagi mempersiapkan para belia Bumiputera yang mempunyai minat mendalam untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Program tersebut juga telah dikenalpasti sebagai salah satu program yang dapat membantu mengatasi isu pengangguran yang berlaku dalam kalangan belia bumiputera serta meningkatkan sosioekonomi belia bumiputera.
Tambah beliau, PKS boleh melayari laman web rasmi SME Corp. Malaysia (www.smecorp.gov.my) dan saluran media sosial rasmi SME Corp. Malaysia untuk mengetahui maklumat lanjut berkaitan bantuan terkini. - DagangNews.com