2021 : Peruntukan capex TM lebih besar | DagangNews Skip to main content

2021 : Peruntukan capex TM lebih besar

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Telekom Malaysia Berhad (TM) menggariskan panduan perbelanjaan modal (capex) kumpulan antara 14 hingga 18% daripada hasil bagi 2021, lebih besar berbanding tahun lalu.

 

Malah, TM juga menjangkakan pertumbuhan mendatar atau satu digit di peringkat rendah dengan Perolehan Sebelum Faedah dan Cukai (EBIT) dijangka melebihi RM1.6 bilion. 

 

Unjuran yang dibuat TM ini akan meletakkan kumpulan pada trajektori pertumbuhan yang mapan, bagi mencipta nilai pemegang saham dan terus menggerakkan Digital Malaysia, demikian menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar. 

 

Beliau berkata, peruntukan capex itu termasuklah pelaburan dalam fiber, perkhidmatan awan dan lain-lain infrastruktur yang mana ia bersedia untuk menyokong syarikat entiti khusus (SPV) jika ia memerlukan. 

 

"Bagi 2021, capex kita lebih tinggi berbanding tahun lalu yang dicapai sekitar 13.7% daripada hasil. 

 

"Ini kerana kita jangkakan lebih banyak pelaburan akan memacu pertumbuhan tahun ini terutama menerusi  unifi, TM ONE dan TM Wholesale," katanya. 

 

Telekom Malaysia
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar dan Ketua Pegawai Kewangan TM, Razidan Ghazalli pada sidang akhbar secara maya prestasi kewangan TM bagi suku keempat 2020 hari ini. 

 

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar prestasi kewangan TM bagi suku keempat 2020 secara maya hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan TM, Razidan Ghazalli.  

 

Pada 2020, syarikat melabur 13.7% daripada hasil dalam perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM1.49 bilion ketika TM terus mengoptimumkan dan memodenkan rangkaiannya serta mengerah aset-asetnya. 

 

Daripada jumlah itu, 53% diperuntukkan akses, rangkaian teras (22%) dan baki 25% bagi sistem rangkaian bagi memastikan rangkaian trafik diuruskan secara efisien ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

 

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai capex dalam teknologi 5G, Imri menjelaskan perkara itu tertakluk kepada kerajaan kerana ia membabitkan SPV yang dilantik.

 

"Untuk makluman, setakat ini, dijangka lebih banyak penelitian mengenai perkara ini akan diumumkan secara berperingkat dalam beberapa minggu akan datang. 

 

"Tetapi, dalam kedudukan TM ketika ini, kami bersedia memainkan peranan dalam menyokong SPV dengan perkhidmatan backhaul bagi membolehkan pelancaran 5G dengan lebih pantas dan kos efektif," katanya. 

 

Inisiatif MyDigital dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin Jumaat lalu merangkumi Pelan Strategik Digital Ekonomi Malaysia terdiri daripada 3 fasa dijangka lengkap menjelang 2030. 

 

Di bawah pelaksanaan inisiatif itu, rakyat di negara ini dijangka menikmati kemudahan teknologi 5G hujung tahun ini melibatkan pelaburan sebanyak RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun. 

 

Pelancaran 5G ini dibuat menerusi SPV di bawah kerajaan yang mana semua syarikat telekomunikasi berlesen akan mendapat akses infrastruktur yang sama rata, dalam memasarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan. 

 

Dalam masa sama, TM juga merupakan antara 4 syarikat yang diberi kebenaran bersyarat untuk membina dan menguruskan pusat data berskala hiper dan perkhidmatan Cloud Service Provider (CSP).

 

Kerajaan juga memberi kebenaran bersyarat ini kepada 3 syarikat teknologi global iaitu Microsoft, Google dan Amazon. 

 

Sementara itu, beliau berkata, TM telah memulakan fasa menarik dalam perjalanannya dengan Program Transformasi ‘New TM’ bagi tempoh 2021-2023. 

 

Berpandukan Kompas ‘New TM’ iaitu Matlamat, Pelanggan, Prestasi dan Anggota, TM akan menerapkan budaya prestasi baharu yang memfokus kepada prestasi dan impak.

 

"Untuk 12 bulan berikutnya, TM menjangkakan untuk memperbaiki pertumbuhan EBIT menerusi 3 bidang kecemerlangan, kesalinghubungan, penyelesaian dan pengalaman pelanggan. 

 

"Ini akan memberi hasil lebih kukuh daripada unit perniagaan kami, pengurusan kos lebih baik dan produktiviti daripada pengoptimuman operasi dan pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan," katanya. - DagangNews.com