KUALA LUMPUR 17 Feb. - Selain Singapura, Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan global menjelang tahun 2022.
Menurut Moody’s Analytics, kedua-dua negara itu telah mengambil langkah berhati-hati untuk membuka sempadan negara walaupun antara yang paling giat melaksanakan sokongan dasar fiskal sejak tahun lepas.
“Malaysia juga sedang menguatkuasakan perintah darurat dan mengekang perjalanan antara negeri,” jelas firma itu menerusi nota kajian ekonomi ‘Trade Links Key to APAC Recovery’, menurut laporan Bernama.
Dalam masa sama, China serta rakan dagangannya dapat membantu ekonomi Asia untuk pulih menerusi rantaian bekalannya di Asia Pasifik serta di seluruh dunia.
Ini seperti mana yang dilakukan negara itu ketika krisis kewangan global pada 2008 hingga 2009, di mana turut memberi manfaat kepada Vietnam, Malaysia dan Taiwan yang menyaksikan permintaan perdagangan dari China kian meningkat,jelas firma itu.
Perdagangan serantau di antara China dengan negara Asia Pasifik yang lain turut bergantung kepada permintaan barang yang stabil dari Eropah dan Amerika Utara, ujar Moody’s Analytics.
Tambahnya, rang undang-undang pakej rangsangan kedua Amerika Syarikat (AS) yang dijangka diluluskan, akan memperkukuh prospek import barangan ke AS.
“Bagaimanapun, permintaan terhadap barangan di Eropah berada pada risiko tinggi, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat ini,” menurut kata firma itu lagi.
Ujar Moody’s Analytics, walaupun momentum pemulihan China telah meningkatkan perdagangan di seluruh Asia Pasifik, namun kemampanan aliran eksport serantau masih bergantung pada usaha bersama untuk membendung pandemik itu.
“Indonesia, Filipina dan Malaysia terus giat berusaha dan mungkin memerlukan lebih banyak sokongan fiskal memandangkan semua negara ini berdepan risiko kuarantin tambahan dan perintah kawalan pergerakan bagi bulan-bulan akan datang, " kata Moody's Analytics.
Selain hubungan perdagangan, kadar pelaksanaan suntikan vaksin turut akan membezakan lagi corak pertumbuhan ekonomi pada 2021 namun kadar itu masih sukar dipantau di Asia kerana kekurangan data yang tersedia daripada sumber gabungan. - DagangNews.com