204 syarikat pelancongan dan hotel tutup operasi sejak Mac | DagangNews Skip to main content

204 syarikat pelancongan dan hotel tutup operasi sejak Mac

Pelancongan. Gambar hiasan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Sebanyak 204 entiti perniagaan, syarikat pelancongan dan perhotelan yang telah menamatkan perniagaan dalam tempoh bulan Mac hingga Oktober 2020.

 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah itu adalah termasuk syarikat yang menamatkan perniagaan oleh mahkamah dan penggulungan secara sukarela.

 

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebanyak 77 buah syarikat dengan kod 55101 hingga 55109 iaitu hotel dan resort hotel, motel dan lain-lain telah menamatkan perniagaan.

 

"Manakala penggulungan oleh mahkamah dan penggulungan secara sukarela untuk syarikat dengan kod yang sama adalah sebanyak 32 buah syarikat.

 

Nancy Shukri
Nancy Shukri

 

"Sebanyak 57 syarikat dengan kod 79110, 79120, dan 79900 iaitu agensi pelancongan dan yang berkaitan telah menamatkan perniagaan. Manakala penggulungan oleh mahkamah dan penggulungan secara sukarela untuk syarikat dengan kod yang sama adalah sebanyak 38 buah syarikat," jelasnya ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN, Machang) di Dewan Rakyat hari ini.

 

Jawapan berkenaan diberikan selepas Ahmad Jazlan meminta beliau menyatakan jumlah hotel dan syarikat pelancongan yang telah gulung tikar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020.

 

Selain itu, Ahmad Jazlan turut meminta beliau menyatakan sama ada kementerian pelancongan bercadang untuk memberi inisiatif kepada pengusaha hotel dan syarikat pelancongan bagi memastikan pengusaha tersebut dapat menampung kos operasi sehingga pintu-pintu ekonomi kembali dibuka.

 

Ahmad Jazlan Yaakub
Ahmad Jazlan Yaakub 

 

Mengulas lanjut, Nancy turut mengumumkan jumlah pengusaha pelancongan yang membuat permohonan lesen baharu dan telah diluluskan.

 

Jumlah yang diumumkan itu melibatkan tempoh Mac 2020 hingga 31 Oktober 2020.

 

"Jumlah syarikat pengusahaan pelancongan yang memohon lesen baru dan diluluskan dari bulan Mac 2020 hingga 31 Oktober 2020 adalah sebanyak 135 buah syarikat.

 

"Kerajaan telah mengumumkan beberapa pakej rangsangan ekonomi (PRE) seperti Prihatin, Prihatin PKS Tambahan dan Penjana untuk membantu meringankan beban rakyat dan kelangsungan perniagaan. 

 

"Ia turut boleh dimanfaatkan oleh penggiat industri pelancongan dan seterusnya memulihkan industri ini," jelasnya lagi. - DagangNews.com