2,062 graduan Politeknik Ungku Omar diraikan pada Istiadat Konvokesyen ke-51 | DagangNews Skip to main content

2,062 graduan Politeknik Ungku Omar diraikan pada Istiadat Konvokesyen ke-51

Abdul Razak (tengah) menyampaikan diploma kepada salah seorang graduan pada Istiadat Konvokesyen PUO ke-51.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 14 Ogos - Seramai 2,062 graduan yang menamatkan pengajian pada Sesi 2 2021/2022 dan Sesi 1 2022/2023 diraikan pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-51.

 

Daripada jumlah itu seramai 1,981 orang merupakan graduan peringkat diploma dan 81 orang penerima pada peringkat Ijazah Sarjana Muda.

 

Istiadat konvokesyen ini dijalankan sebanyak lima sesi iaitu bermula hari ini sehingga Jumaat.

 

Sebanyak lima anugerah disampaikan kepada graduan cemerlang iaitu Anugerah Ungku Omar, Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, Anugerah Projek Terbaik (Penyelidikan dan Inovasi), Anugerah Khas Industri dan Anugerah Ikon Keusahawanan.

 

Graduan

 
Graduan
Sebahagian daripada graduan yang diraikan pada Istiadat Konvokesyen PUO ke-51.

 

Anugerah Ikon Keusahawanan merupakan anugerah baharu yang julung-julung kali diperkenalkan pada tahun ini sebagai pengiktirafan kepada graduan PUO yang cemerlang dalam bidang keusahawanan. 

 

PUO juga merakamkan penghargaan kepada 28 industri yang memberikan sumbangan besar kepada institusi itu menerusi Anugerah Khas Industri. 

 

Antaranya ialah CyberSecurity Malaysia, TRC Synergy Berhad, Maybank, Bank Mualamat, PCOM Technologies Sdn. Bhd., Perak Human Capital Development Centre dan Land Surveyors Board.

 

Turut disampaikan ialah Diploma Anumerta (posthumous) kepada waris Gemulah Abdul Razak Saibi, graduan Diploma Kejuruteraan Mekatronik yang meninggal dunia pada 25 Mac lalu akibat kemalangan jalan raya.

 

Graduan

 

Terdahulu, Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar Ke-51 disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar. 

 

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd Zahari Ismail.

 

Dalam pada itu, orang ramai khususnya warga Ipoh dijemput menghadiri Pesta Konvokesyen PUO bermula hari ini hingga Jumaat.

 

Pelbagai aktiviti disediakan seperti reruai keusahawanan, pameran agensi kerajaan dan swasta, kuiz konvokesyen dan bulan kebangsaan, pertandingan e-sports serta cabutan bertuah. - DagangNews.com