Penjelasan PNB berkenaan pelaburan dalam FashionValet (FV) | DagangNews Skip to main content

Penjelasan PNB berkenaan pelaburan dalam FashionValet (FV)

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 1 Nov -  Berikutan beberapa laporan mengenai perkara ini, Permodalan Nasional Berhad (PNB) ingin memberi penjelasan mengenai pelaburannya dalam FashionValet (FV).

 

ARTIKEL BERKAITAN: Khazanah, PNB jual pegangan RM47 juta dalam FashionValet pada harga hanya RM3.1 juta, MOF sahkan di Parlimen

 

Pada tahun 2018, Dana Proprietari PNB telah mengambil bahagian dalam pengumpulan dana Siri C FV melalui pelaburan dalam Saham Keutamaan Boleh Tukar Boleh Tebus (RCPS) bernilai AS$5 juta (RM20 juta) untuk memperoleh sedikit pegangan minoriti tidak langsung.

 

Pelaburan ini dibuat setelah melalui proses penilaian terperinci dan ketekunan wajar pelaburan swasta PNB dan dilaksanakan pada nilai pasaran yang berpatutan, yang mencerminkan trajektori pertumbuhan FV yang kukuh, dengan peningkatan pendapatan sekitar 60% setiap tahun dalam tempoh tiga tahun sebelumnya.

 

Keseluruhan hasil pelaburan tersebut ditujukan untuk menyokong inisiatif pertumbuhan FV dan bukannya kepada pemegang saham sedia ada, termasuk pengasas syarikat tersebut.

 

Rasional di sebalik pelaburan PNB ini adalah bertujuan untuk bekerjasama dengan pelabur lain dalam membantu sebuah syarikat peruncitan digital Bumiputera yang mengalami perkembangan yang kukuh untuk berkembang sebagai platform serantau bagi pereka dan jenama tempatan, serta membuka kedai fizikal untuk menyediakan pengalaman omnichannel kepada pengguna, sambil turut membangunkan jenama yang dimiliki sepenuhnya.

 

Pelaburan ini juga selaras dengan seruan kerajaan kepada Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk membangunkan syarikat Bumiputera berpotensi tinggi yang beroperasi dalam ekonomi baharu. Malangnya, selepas pelaburan dibuat, FV terkesan teruk oleh pandemik COVID-19.

 

Sekatan pergerakan telah menyukarkan operasi kedai fizikal, walaupun perbelanjaan modal yang besar telah digunakan untuk melengkapkan kedai-kedai ini, yang akhirnya menimbulkan cabaran aliran tunai yang turut menjejaskan perniagaan platform dalam talian FV.

 

FV memerlukan suntikan modal segera, tetapi pelabur sedia ada, termasuk PNB, tidak bersedia untuk menyuntik dana tambahan disebabkan risiko yang berkaitan.

 

Selepas proses pengumpulan dana yang berpanjangan dari 2022 hingga 2023, seorang pelabur Bumiputera muncul dan bersedia untuk melabur modal baharu ke dalam syarikat tersebut tetapi pada penilaian yang jauh lebih rendah, mengambil kira keadaan yang mencabar dan suasana pengumpulan dana global yang sukar.

 

Sebagai sebahagian daripada proses ini, pelabur Bumiputera tersebut turut menawarkan untuk membeli pegangan yang dimiliki oleh pelabur sedia ada dalam FV.

 

Memandangkan pegangan PNB adalah kecil, dengan peruntukan yang besar, keputusan untuk menerima tawaran pembelian tersebut telah diambil bagi memudahkan kelangsungan FV.

 

Adalah penting untuk ditegaskan bahawa pelaburan ini dibuat menggunakan dana proprietari PNB dan bukan dana amanah saham di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang dilanggan oleh orang awam.

 

Walaupun kesal dengan kerugian yang dialami, iaitu sebanyak RM18.7 juta selepas menerima hasil jualan sebanyak RM1.3 juta, tetapi ini harus dilihat dalam konteks aset pelaburan bernilai RM337 bilion yang diuruskan oleh PNB dan RM16.4 bilion dalam pendapatan pelaburan yang dijana selepas mengambil kira kerugian ini pada TK23.

 

PNB mengakui risiko dan ganjaran dalam melabur dalam modal teroka dan ekuiti persendirian dan, oleh itu, pelaburan ini diuruskan sebagai satu portfolio, dengan prestasi dinilai berdasarkan keseluruhan portfolio dan bukannya pelaburan tertentu.

 

Bagi menguruskan risiko, had ketat dan garis panduan diterapkan untuk memastikan pelaburan tidak tertumpu dan dibiayai terutamanya oleh dana proprietari PNB, bagi melindungi pemegang unit ASNB daripada potensi kerugian.

 

Secara ringkasnya, FV merupakan pelaburan modal teroka yang telus bertujuan menyokong syarikat Bumiputera berpotensi tinggi, yang malangnya terjejas teruk oleh COVID-19 dan perubahan dalam trend peruncitan.

 

PNB kekal komited untuk berhati-hati dan bijaksana dalam keputusan pelaburan yang dibuat, dengan pematuhan kepada proses usaha ketekunan wajar dan kelulusan yang teliti. - DagangNews.com