KUALA LUMPUR 1 Nov - Unique Fire Holdings Berhad, sebuah syarikat keselamatan dan perlindungan kebakaran bercadang memindahkan penyenaraian dari Pasaran ACE kepada Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, cadangan pemindahan itu mencerminkan prestasi konsisten Unique Fire dan pencapaian penting sejak penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Securities pada 5 Ogos 2022.
"Unique Fire telah menunjukkan kedudukan kewangan yang sihat dengan aliran tunai bersih yang positif daripada aktiviti operasi, tahap modal kerja yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya 12 bulan dan tiada kerugian terkumpul berdasarkan kunci kira-kira terauditnya," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Pengarah Urusan Unique Fire, Liew Sen Hoi berkata, memandangkan Unique Fire terus mengembangkan dan mengukuhkan kedudukan pasarannya, peralihan kepada Pasaran Utama adalah lamgkah terbaik dalam perjalanan pertumbuhannya.
“Cadangan pemindahan itu dijangka meningkatkan keterlihatan dan kredibiliti kumpulan dan memberikan pendedahan syarikat yang lebih besar kepada pelabur yang lebih luas, bukan sahaja pelabur domestik tetapi juga dana asing.”
“Kami berada pada landasan yang betul sejajar dengan rancangan pengembangan kami, setelah menggunakan kira-kira 72% daripada jumlah hasil IPO kami.
“Penambahan dua barisan pembuatan baharu kami yang dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2025 akan meningkatkan kecekapan operasi kami serta meningkatkan jumlah kapasiti pengeluaran kami sebanyak 220% melebihi 210,000 silinder.
“Kami juga telah mewujudkan kehadiran kami di Johor dan kini sedang membuka laluan untuk masuk ke Pulau Pinang. Selepas kejayaan menyiapkan Cadangan Pemindahan, Unique Fire akan terus memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu dalam industri keselamatan dan perlindungan kebakaran, termasuk selimut kenderaan elektrik,” ulasnya.
Liew berkata, cadangan pemindahan itu menggariskan prestasi kewangan Unique Fire konsisten dan kecemerlangan operasi yang dijangka meningkatkan keyakinan pelabur.
Sementara itu, kumpulan tersebut melaporkan keuntungan terkumpul selepas cukai kira-kira RM29.0 juta sepanjang lima tahun kewangan yang lalu dan keuntungan selepas cukai diaudit kira-kira RM8.1 juta pada tahun kewangan terkini berakhir 30 Mac 2024.- DagangNews.com