Batik Air memperluas rangkaian Sarawak dengan laluan baharu Kuala Lumpur-Bintulu | DagangNews Skip to main content

Batik Air memperluas rangkaian Sarawak dengan laluan baharu Kuala Lumpur-Bintulu

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 1 Nov - Batik Air melancarkan laluan langsung ketiga ke Sarawak pada Jumaat, menghubungkan Kuala Lumpur dengan Bintulu, sekali gus mengukuhkan rangkaian strategik syarikat penerbangan itu di seluruh Malaysia Timur.

 

Penerbangan sulung yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) disambut dengan meriah di Lapangan Terbang Bintulu (BTU) termasuk pemakaian kalungan manik tradisional untuk penumpang, hasil kerjasama Lembaga Pelancongan Sarawak yang mempamerkan hospitaliti unik dan warisan budaya yang kaya di negeri tersebut.

 

Sambutan itu dihadiri oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin dan Penasihat Teknikal Penerbangannya, Sio Yew Hua; ADUN Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming; Pengarah Pelancongan Malaysia Sarawak, Nurul Ain Mohammed Yunus; dan Pengurus ATS/ATCO, Jobrin Anak Sani dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, penerbangan sulung tersebut menunjukkan komitmen syarikatnya untuk menghubungkan kawasan-kawasan di Malaysia dan menyokong pertumbuhan Sarawak sebagai destinasi utama.

 

"Dengan memperluas rangkaian laluan ke bandar ini, kami mahu memberdayakan pelancongan tempatan, menyokong pertumbuhan perniagaan serantau dan menyediakan perjalanan yang lancar dan menyeronokkan di seluruh Malaysia Timur dan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan.

 

airasia

 

Bintulu, yang terkenal dengan eko pelancongan dan kepentingan industri, menawarkan akses mudah kepada pemandangan alam semula jadi Sarawak yang menakjubkan dan persekitaran perniagaan yang berkembang. 

 

Sebagai pintu masuk kepada pengembaraan luar dan tarikan budaya, Bintulu mengundang pengunjung untuk meneroka destinasi ikonik seperti Taman Negara Similajau yang terkenal dengan pantai yang bersih, hutan hujan yang subur dan kepelbagaian hidupan liar seperti enggang dan buaya muara.

 

Selain daya tarik pelancongan, Bintulu juga memainkan peranan penting dalam lanskap ekonomi Malaysia, khususnya dalam pengeluaran Gas Asli Cecair (LNG) dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), menjadikannya destinasi yang sangat berharga bagi pelancong perniagaan dan pelabur.

 

Kim Shin menyatakan keterujaannya berikutan pengembangan perkhidmatan Batik Air yang merangkumi semua empat lapangan terbang utama di Sarawak iaitu Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri pada Januari 2025.

 

Katanya, perkembangan penting itu akan meningkat hubungan pengangkutan udara antara Malaysia Barat dan Sarawak.

 

"Semasa kita mendekati musim perayaan, adalah penting bagi Batik Air memastikan kapasiti tempat duduk yang mencukupi untuk pelancong yang pulang ke Sarawak.

 

"Keterhubungan yang meningkat ini bukan sahaja akan memudahkan perjumpaan keluarga, tetapi juga menyokong ekonomi dan sektor pelancongan tempatan kita," ujarnya.

 

Laluan Kuala Lumpur–Bintulu beroperasi sepuluh kali seminggu, menyediakan pilihan perjalanan harian yang mudah dengan pesawat Boeing 737 Batik Air yang selesa, tersedia dalam kelas ekonomi dan kelas perniagaan.

 

Dengan penambahan Bintulu, portfolio Sarawak Batik Air kini merangkumi destinasi utama Kuching dan Sibu, menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelancong untuk meneroka negeri terbesar di Malaysia dan menghubungkan Malaysia Timur dan Barat dengan lebih lancar. - DagangNews.com