219 kaunter rugi, KLCI bermula lemah untuk minggu ini | DagangNews Skip to main content

219 kaunter rugi, KLCI bermula lemah untuk minggu ini

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Pasaran saham tempatan terus menyambung kerugian pada minggu lalu, berkemungkinan disebabkan oleh kekurangan pemangkin baharu untuk melonjakkan pembelian ekuiti dalam kalangan pelabur.

 

Ketika dibuka, indeks penanda aras utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI merosot 2.19 mata kepada 1,573.78 daripada paras penutupan pada petang Jumaat, minggu lalu iaitu 1,575.97.

 

Rakuten Trade Research menjangkakan indeks penanda aras itu mungkin akan terus didagangkan dalam jajaran terhad, antara paras 1,570 hingga 1,580, pada hari ini. 

 

“Di pasaran tempatan, FBM KLCI terus menyusut memandangkan aktiviti pengambilan keuntungan masih ada. 

 

“Indeks itu kehilangan 25 mata sejak memecah rekod tinggi iaitu melepasi 1,600 pada penghujung Ogos dan kami menjangkakan ia akan menerima beberapa tekanan ketika ketidaktentuan memuncak dalam kalangan pasaran serantau. 

 

“(Tetapi), perkara positifnya adalah kawasan Lembah Klang terus menyaksikan penurunan dalam kes COVID-19,” jelas firma itu dalam satu nota kajiannya, hari ini. 

 

Setakat laporan ditulis, pasaran tempatan menyaksikan sebanyak 219 kaunter rugi yang mengatasi jumlah kaunter untung iaitu 171, menurut data malaysiastock.biz

 

Sementara, 315 kaunter lagi tidak berubah dan 1552 tidak didagangkan. 

 

Saham Petronas Gas Berhad mencatatkan kerugian terbesar pada dagangan hari ini, menyusut 12 sen kepada RM16.62.

 

Ini diikuti oleh saham Ajinomoto (Malaysia) Berhad yang merosot 10 sen kepada RM16.32, dengan hanya tiga dagangan saham bertukar tangan.

 

Beralih kepada kaunter paling untung, saham Genetec Technology Berhad mengunggulinya dengan dibuka 22 sen lebih tinggi, namun merosot 44 sen kepada RM31.46 setelah 22 minit didagangkan. 

 

Selain Genetec, saham Widetech (Malaysia) Berhad meningkat 18 sen kepada RM5.12 setakat 9.23 pagi. 

 

Saham KNM Group Berhad pula masih berada di dalam kaunter paling rancak didagangkan, namun menyusut 2 sen kepada 28 sen setelah 25 minit didagangkan, dengan 1.3 juta saham bertukar tangan. - DagangNews.com