KUALA LUMPUR 19 Okt. - Syarikat penerbangan Malindo Airways Sdn. Bhd. (Malindo Air) dipercayai akan melakukan penstrukturan dengan mengurangkan jumlah kakitangannya.
Keputusan tersebut diambil ekoran tekanan yang dialami syarikat berkenaan akibat kesan penularan wabak COVID-19 dalam sektor penerbangan.
Sumber yang mengesahkan isu berkenaan berkata, perkara tersebut telah diputuskan oleh pihak pengurusan Malindo Air pada mesyuarat yang dijalankan Jumaat lalu.
"Ketika ini syarikat penerbangan tambang rendah itu mempunyai 3,200 pekerja dan memuktamadkan untuk mengekalkan hanya kira-kira 1,000 pekerja.
"Armada pesawat Malindo Air juga akan dikurangkan. Syarikat beroperasi dengan lima buah pesawat berkuasa jet merangkumi Boeing 737-900ER dan 737-800 serta enam pesawat turboprop ATR72-600.
"Syarikat juga meminta pekerja yang masih kekal melaksanakan bidang tugas berganda, bagi menampung kekurangan tenaga kerja," jelas sumber berkenaan.
BACA : Malindo Air lepaskan 2,200 kakitangan
Mengulas lanjut, sumber sama berkata, kesemua kakitangan yang terlibat dengan pemberhentian itu diberi tempoh hingga penghujung bulan hadapan.
"Tempoh akhir untuk pekerja yang terbabit dalam pemberhentian itu adalah pada 30 November ini.
"Syarikat juga meminta pekerja yang masih kekal melaksanakan bidang tugas berganda bagi menampung kekurangan tenaga kerja," tambahnya.
Awal Mac lalu, Malindo telah mengarahkan kakitangannya untuk mengambil pemotongan gaji sebanyak 50% dan dua minggu cuti tanpa gaji kerana terpaksa mengehentikan operasi akibat wabak COVID-19. - DagangNews.com