23,716 pekerja ladang terima manfaat e-dompet FGV | DagangNews Skip to main content

23,716 pekerja ladang terima manfaat e-dompet FGV

Pengerusi Kumpulan FGV Holdings Berhad, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab (kiri) bersama Mohd. Nazrul Izam Mansor di dalam kedai FGV bergerak
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Jan - FGV Holdings Berhad (FGV) berjaya melaksanakan 100% perkhidmatan e-dompet FGV bagi urusan pembayaran gaji dan transaksi harian melibatkan 23,716 pekerja ladang mereka di seluruh negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd. Nazrul Izam Mansor berkata, menerusi penggunaan e-dompet, pekerja ladang terutamanya pekerja migran dapat menguruskan kewangan mereka secara lebih efisyen.

 

"Selain transaksi tanpa tunai, aplikasi itu membolehkan pekerja migran melakukan pengiriman wang kepada ahli keluarga mereka di negara asal, membeli prabayar mudah alih dan mengeluarkan wang tunai di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang berdaftar dengan VISA atau melalui peniaga berdaftar," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, FGV melancarkan projek perintis kedai bergerak di operasi perladangan FGV di Sampadi, Sarawak bagi tujuan kemudahan pekerja ladang.

 

Beliau berkata, semua orang termasuk pekerja FGV mempunyai hak kepada taraf hidup yang baik termasuk akses kepada makanan dan keperluan asas.

 

 

fgv

 

 

“Memandangkan kedai-kedai runcit di ladang FGV di Sampadi agak jauh dari tempat tinggal pekerja ladang dan sebagai majikan bertanggungjawab, FGV memutuskan mengadakan sendiri perkhidmatan kedai bergerak bagi membolehkan pekerja ladang terus menikmati bekalan bahan mentah segar untuk keperluan harian mereka dengan lebih mudah dan harga berpatutan," katanya.

 

Mohd. Nazrul berkata, bagi melancarkan lagi perjalanan kedai bergerak, Pejabat Wilayah FGV akan menguruskan segala keperluan berkaitan seperti penyediaan pekerja bagi membawa kenderaan, pembekalan bahan mentah dan keperluan harian serta aspek penyelenggaraan operasi tersebut.

 

"Selaras dengan usaha FGV menyokong inisiatif kerajaan ke arah transaksi tanpa tunai, semua urusan pembelian dan pembayaran di kedai bergerak FGV dijalankan melalui sistem e-dompet FGV yang telah diperkenalkan sejak 2020.

 

"Pekerja juga boleh menyalurkan sebarang rungutan atau aduan melalui aplikasi tersebut. Selain Kedai FGV bergerak, aplikasi sama boleh digunapakai di kedai-kedai FGV lain di semua operasi perladangan FGV di seluruh negara," katanya. - DagangNews.com