24.5 juta rakyat Malaysia divaksin, 4 negeri capai lebih 50% | DagangNews Skip to main content

24.5 juta rakyat Malaysia divaksin, 4 negeri capai lebih 50%

Vaksin COVID-19. Kredit gambar Jabatan Penerangan Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Jumlah kumulatif suntikan dan pemberian vaksin di Malaysia terus meningkat kepada 24.5 juta setakat 8 Ogos 2021.

 

Menurut data yang dikongsikan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), jumlah tersebut meliputi 15.7 juta pemberian dos pertama dan 8.7 juta bagi dos kedua.

 

.

 

Lembah Klang mencatatkan jumlah pemberian dos tertinggi iaitu sebanyak 6.2 juta bagi dos pertama dan 3.1 juta dos kedua.

 

Jumlah kumulatif yang direkodkan itu menjadikan peratusan populasi divaksin meningkat kepada 48.3% bagi mereka yang telah mendapatkan dos pertama dan 26.9% bagi mereka yang telah melengkapkan dos kedua.

 

Bagi peratusan populasi divaksin, empat negeri mencatatkan peratusan melebihi 50% iaitu Lembah Klang (74.0%), Wilayah Persekutuan Labuan (66.7%), Sarawak (63.4%) dan Negeri Sembilan (56.8%).

 

.

 

Sementara itu, vaksinasi kumulatif golongan dewasa pula merekodkan peratusan sebanyak 67.4% bagi dos pertama dan 37.5% bagi dos kedua.

 

Hingga semalam, vaksinasi golongan dewasa di Lembah Klang mencapai 101.1%, 51.5% daripadanya telah melengkapkan dua dos suntikan.

 

.

 

JKJAV memberitahu, peratusan yang melebihi 100% itu disebabkan oleh statistik kependudukan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia yang tidak mengambil kira perubahan populasi sejak Banci akhir, penduduk tanpa dokumen serta vaksinasi yang diberi kepada penduduk tanpa dokumen dan golongan bukan pemastautin.

 

Bagi jumlah pemberian vaksin harian pula, Malaysia merekodkan jumlah pemberian dos vaksin sebanyak 389,641 semalam.

 

Jumlah tersebut terdiri daripada 156,816 dos pertama dan 232,825 bagi pemberian vaksin dos kedua. - DagangNews.com