KUALA LUMPUR 22 Feb - Seramai 250,000 pelajar sekolah di lebih 1,000 sekolah di seluruh wilayah Asia Tenggara telah mendapat manfaat program Cashville Kidz Maybank sehingga kini, dengan sasaran 32% penyertaan pelajar bagi meningkatkan pengetahuan kewangan mereka.
Untuk tahun lepas, lebih 7,500 pelajar & 240 pendidik dari 30 sekolah seluruh negara menyertai program celik kewangan itu, dalam usaha untuk meningkatkan celik kewangan terutamanya dalam kalangan generasi muda di Malaysia.
Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, semua pihak menyaksikan bagaimana pandemik telah menjejaskan ekonomi negara dan tidak ketentuan masa hadapan.
"Disebabkan ini, kami terus membantu kanak-kanak ini dengan kemahiran hidup yang akan membolehkan mereka mencapai kebebasan kewangan untuk masa hadapan secara mampan, tanpa mengira latar belakang sosial atau ekonomi mereka. Kami mahu terus mendidik mereka tentang cara menjana wang daripada hanya memberi mereka terus wang tersebut.
"Oleh itu, penerusan program celik kewangan Cashville Kidz adalah penting dalam memperkasakan komuniti muda kita dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengurus kewangan mereka dengan berkesan pada masa hadapan," katanya ketika berucap merasmikan majlis anugerah secara maya itu.
Beliau berkata, misi pihaknya melalui program celik kewangan itu untuk memastikan akses pendidikan kewangan bukanlah satu keistimewaan kepada segelintir mereka yang terpilih, tetapi merupakan hak asasi manusia untuk semua kanak-kanak.
"Kami berhasrat untuk memberikan sumbangan celik kewangan kepada generasi akan datang, seorang kanak-kanak pada satu masa. Program Cashville Kidz Maybank diberi status ko-kurikulum oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan diiktiraf serta disahkan pihak berkepentingan utama seperti Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan Cambodia, Bank Nasional Cambodia dan Bank Pusat Filipina," katanya.
Ketua Pegawai Kemampanan Maybank, Shahril Azuar Jimin pula berkata, pihaknya telah meningkatkan modul pembelajaran untuk memasukkan pendidikan tentang trend perbankan terkini seperti perbankan digital dan keselamatan siber.
"Kami percaya peralihan ke arah pengajaran dan pembelajaran dalam talian hari ini tidak seharusnya menangguhkan dorongan celik kewangan yang lebih kukuh dalam komuniti kami. Walaupun kami menetapkan sasaran awal seramai 6,600 pelajar, program ini berjaya mencapai lebih 7,500 pelajar di 30 sekolah dan melatih lebih 240 guru pada 2021.
"Tambahan pula, sejak diperkenalkan di Malaysia, Cashville Kidz telah memberi impak positif kepada lebih 206,000 pelajar di lebih 860 sekolah dengan lebih 1,900 guru terlatih. Pada 2021, program di Malaysia terus kekal fokus pada peningkatan tahap celik kewangan pada 26%," katanya.
Sejajar dengan Strategi Celik Kewangan Kebangsaan 2019 – 2023, Maybank turut mengadakan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Kewangan kali ke-3 bagi menghargai para pendidik dan pelajar yang telah menunjukkan dedikasi dan usaha luar biasa dalam mempromosi serta memperjuangkannya di negara ini.
Anugerah Sekolah Terbaik telah dianugerahkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shan Tao Kota Kinabalu, manakala Anugerah Pendidik Terbaik diberikan kepada Ann Richard Wong yang juga guru di sekolah tersebut.
Anaqi Thaqif Zainul dari Sekolah Kebangsaan Taman Scientex, Johor Bahru pula diiktiraf Anugerah Pelajar Terbaik kerana mencapai skor pasca penilaian tertinggi dalam program Cashville Kidz dan menjadi model peranan celik kewangan di kalangan rakan sebaya.
Program Cashville Kidz telah diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2013, bersama-sama dengan rakan kongsi program, MoneyTree Asia Pacific Ltd kini telah berkembang ke Kemboja, Indonesia, Myanmar, Singapura, Vietnam dan Filipina. - DagangNews.com