26 pengusaha stesen minyak Petron terima surat penghargaan PDRM menerusi program GTSP  | DagangNews Skip to main content

26 pengusaha stesen minyak Petron terima surat penghargaan PDRM menerusi program GTSP 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Okt - Seramai 26 pengusaha stesen minyak Petron menerima surat penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi sumbangan mereka di dalam menjayakan program 'Go-To-Safety-Point (GTSP)' pada 2022. 

 

Sebagai syarikat minyak pertama yang bekerjasama dengan PDRM untuk melaksanakan GTSP, Petron kini sudah mempunyai lebih 760 stesen minyak yang berfungsi sebagai lokasi selamat untuk memberi bantuan kecemasan awal. 

 

Ketua Perniagaan Runcit Petron, Shaliza Mohd Sidek berkata, syarikat adalah rakan kerjasama yang lama dengan PDRM, yang mana tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 pelaksanaan program tersebut. 

 

"Kami bukan sekadar berazam untuk melindungi keselamatan komuniti setempat, tetapi kami juga mahu pelanggan berasa selamat apabila mereka singgah di stesen minyak Petron. 

 

"Dengan latihan berkala yang konsisten, semua kakitangan di stesen minyak adalah terlatih dan mampu menawarkan bantuan awal kepada pelanggan semasa keadaan kecemasan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Azman Ayob pula berkata, dedikasi Petron yang berterusan untuk mempromosikan keselamatan awam terbukti melalui pemasangan paparan struktur seni unik bersertakan mesej GTSP.

 

"Pada tahun lepas, mereka melancarkan 10 reka bentuk mural menggunakan peribahasa Melayu untuk menggalakkan kesedaran keselamatan jalan raya," katanya.

 

 

petron
Shaliza Mohd Sidek

 

 

petron
Datuk Azman Ayob

 

 

Program GTSP merupakan inisiatif kerajaan yang diterajui oleh PDRM di bawah program 'United Against Crime' yang bertujuan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat secara amnya. 

 

Tahun lepas, stesen minyak Petron melaporkan sebanyak 36 insiden GTSP, termasuk keganasan rumah tangga, kemalangan jalan raya, kehilangan kesedaran dan beberapa insiden lain yang seumpama dengannya.

 

 

petron

 

 

Semua stesen minyak Petron mempunyai pelekat tingkap GTSP untuk pengenalpastian lokasi GTSP serta sudut ‘de-stress’ untuk pelanggan berehat/bertenang sementara menunggu ketibaaan pihak berkuasa berkenaan. 

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Sdn Bhd, Muhamad Zamry Abu Samah berkata, kedua-dua pihak mengalu-alukan kerjasama tersebut, yang mana pihaknya akan mendapat pendedahan jenama yang sangat baik. 

 

"Richiamo Coffee berharap kerjasama ini dapat disegerakan supaya ia menjadi sebahagian dari program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan penjenamaan untuk syarikat," katanya. 

 

 

petron

 

 

Pemegang cawan panas GTSP boleh didapati di tiga cawangan Richiamo Coffee yang berada di stesen minyak Petron, termasuk Richiamo Coffee Kuala Kangsar, Richiamo Coffee Bukit Beruntung dan Richiamo Coffee Jitra mulai Disember 2023. 

 

Petron juga akan menyediakan pemegang cawan kopi GTSP di cawangan Richiamo yang lain dan juga di 40 buah kedai serbaneka Treats di bawah program kopi itu di stesen minyak Petron. - DagangNews.com